Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Hari kelepasan am jatuh pada 18, 19 November, kata Ismail Sabri

Anggaran Waktu Membaca:
Hari kelepasan am jatuh pada 18, 19 November, kata Ismail Sabri

Gambar fail Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob. (Gambar: Vincent Tan/CNA)

PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia mengumumkan 18 dan 19 November sebagai hari kelepasan am bagi memudahkan urusan pengundi menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob pada Isnin (14 Nov).

Beliau berkata Sabtu, 19 November itu turut diumumkan sebagai hari kelepasan am kerana terdapat kemungkinan syarikat-syarikat swasta, terutamanya kilang yang tidak tutup pada hari berkenaan, menyebabkan pekerja mereka tidak boleh mengundi.

“Hak mengundi adalah hak yang dijamin oleh perlembagaan dan saya tidak mahu satu orang pun yang dihalang daripada mengundi,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Wisma Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Putrajaya di Putrajaya pada Isnin (14 Nov).

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali, Presiden Cuepacs Adnan Mat dan calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Putrajaya Tengku Adnan Tengku Mansor.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November ini sebagai hari pengundian, manakala esok ialah hari pengundian awal.

Pada 7 November, Cuepacs mencadangkan kerajaan mengisytiharkan cuti umum khas pada 18 November untuk memudahkan pergerakan rakyat Malaysia ke lokasi mengundi pada PRU15, dan pada 8 November, Ismail Sabri dilaporkan berkata cadangan itu akan dipertimbangkan.

Ismail Sabri berkata kerajaan turut bersetuju supaya tarikh pembayaran gaji untuk penjawat awam bagi November 2022 diawalkan pada 17 November dan untuk pesara pula, bayaran pencen diawalkan pada 14 November.

“Ini diharapkan dapat meringankan beban kos penjawat awam yang ingin pulang ke kampung halaman bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi,” katanya.

Pada masa sama, Ismail Sabri memaklumkan 30 konsesi lebuh raya bersetuju menawarkan kadar tol percuma selama dua hari sempena PRU15, bagi memudahkan pengundi pulang ke kampung halaman untuk mengundi.

“Tol percuma tersebut akan bermula dari pukul 12.01 tengah malam 18 November (Jumaat) hingga pukul 11.59 malam pada hari Sabtu, 19 November melibatkan semua kenderaan jenis persendirian, Kelas 1 sahaja dianggarkan sekitar 90 peratus dari jumlah keseluruhan kenderaan di lebuh raya,” katanya.

Encik Ismail Sabri pada majlis itu memberi jaminan sekiranya kerajaan pimpinannya diberi mandat semula selepas PRU15, kesemua pengumuman yang dibuat pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Ke-18 pada 30 Ogos lalu, yang terkandung dalam Bajet 2023 pasti akan dilaksanakan.

Antara pengumuman tersebut ialah kadar maksimum gantian cuti rehat (GCR) yang boleh dikumpulkan bagi tujuan award wang tunai dinaikkan daripada 160 kepada 180 hari, dan kebenaran penebusan awal gantian cuti rehat (GCR) sehingga 50 peratus akan dinaikkan sehingga maksimum 90 hari.

Ia juga termasuk kenaikan Gaji Tambahan Khas 2023 sebanyak RM100 (S$30) kepada semua penjawat awam Gred 11 hingga 56, Bantuan Khas Kewangan kepada 1.3 juta penjawat awam gred 56 ke bawah sebanyak RM700 (S$208) dan 1.0 juta pesara kerajaan sebanyak RM350 (S$104), serta Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2023 dinaikkan kepada RM600 (S$178) serta dibayar pada Mac 2023.
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan