Skip to main content

Dunia

Hari kedua berturut-turut Thailand catat rekod baru kematian COVID-19

Thailand pada Ahad (25 Apr) mencatat jumlah harian tertinggi kematian akibat COVID-19 buat hari kedua berturut-turut. Ini sedang pihak berkuasa meningkatkan tindak balas terhadap jangkitan gelombang ketiga yang pantas setelah sekitar setahun ia berjaya membendung penularan COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Hari kedua berturut-turut Thailand catat rekod baru kematian COVID-19

Seorang sami terima suntikan vaksin AstraZeneca COVID-19 di Kuil Nak Prok di Bangkok, Thailand, pada 9 Apr 2021. (Gambar: AP/Sakchai Lalit)

Diterbitkan : 25 Apr 2021 08:20PM Dikemas Kini : 25 Apr 2021 08:24PM

BANGKOK: Thailand pada Ahad (25 Apr) mencatat jumlah harian tertinggi kematian akibat COVID-19 buat hari kedua berturut-turut. Ini sedang pihak berkuasa meningkatkan tindak balas terhadap jangkitan gelombang ketiga yang pantas setelah sekitar setahun ia berjaya membendung penularan COVID-19.

Thailand akan memperlahankan pengeluaran dokumen perjalanan untuk warga asing dari India ekoran penularan varian baru B1617, kata Taweesin Wisanuyothin, jurucakap pasukan petugas COVID-19 kerajaan.

"Bagi warga asing dari India yang memasuki Thailand, sekarang kami akan memperlahankannya," kata Encik Taweesin sambil menambah bahawa 131 warga Thailand di India yang sudah mendaftar untuk melakukan perjalanan pada Mei masih akan dibenarkan masuk ke negara itu.

Thailand melaporkan 2,438 kes baru COVID-19 dan 11 lagi kematian, menjadikan jumlah jangkitan sebanyak 55,460 dengan 140 terkorban sejak pandemik itu bermula tahun lalu.

Perdana Menteri Prayut Chan-o-cha di laman Facebooknya pada Sabtu berkata gabenor wilayah dibenarkan menutup tempat awam dan melaksanakan perintah berkurung jika perlu untuk menghentikan penularan virus.

Pihak berkuasa di ibu kota Bangkok memerintahkan penutupan tempat-tempat termasuk taman, gimnasium, pawagam dan pusat jagaan harian dari 26 April hingga 9 Mei.

Pusat beli-belah tetap dibuka namun dengan waktu pembukaannya dihadkan oleh Persatuan Peruncit Thailand di Bangkok dan juga di 17 lagi daripada 73 provinsi negara itu.

Thailand pada tahun lalu berjaya mengekalkan jumlah kes jangkitan yang jauh lebih rendah daripada banyak negara lain, tetapi penularan baru, yang sebahagiannya dipacu oleh varian B117 yang sangat mudah berjangkit, mengakibatkan lebih 24,000 kes dan 46 kematian dicatat hanya dalam 25 hari.

Lonjakan angka menimbulkan keprihatinan mengenai jumlah katil hospital, terutama memandangkan dasar kerajaan adalah untuk memasukkan sesiapa pun yang positif COVID-19 ke hospital, meskipun tidak mengalami gejala.

Pegawai kesihatan menegaskan masih terdapat lebih daripada 20,000 katil yang tersedia di seluruh negara.

Untuk mengosongkan katil dengan lebih cepat, PM Prayut berkata pihak berkuasa kesihatan sedang mempertimbangkan untuk mengurangkan tempoh kuarantin untuk kes tanpa gejala menjadi 10 hari berbanding 14 hari, dengan baki empat hari yang akan dihabiskan di rumah di bawah pengasingan sendiri.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita