Skip to main content

Dunia

Hari ke-8 operasi cari mangsa tanah jerlus Jalan Masjid India: Kamera teleskopik usaha terkini operasi SAR

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Pelbagai teknik termasuk kaedah 'jetting', 'flushing' dan menyedut keluar air dari lokasi kejadian digunakan dalam usaha mengesan wanita warga India yang hilang dalam insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India namun operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih menemui kebuntuan. 

Pasukan SAR kini menggunakan kamera teleskopik untuk mengesan kedudukan jasad mangsa yang dikenali sebagai G.Vijaya Lakshmi, 48 tahun, yang hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter menyusuli insiden tanah jerlus pada 8.22 pagi 23 Ogos lalu.

Peralatan itu mempunyai gabungan teknologi yang terdapat pada kamera 'push rod' dan 'crawler' yang ditawarkan secara percuma oleh pihak swasta kepada pasukan SAR.

Penggunaannya diharap dapat membantu pasukan SAR melihat imej lebih jelas terutama di lurang kumbahan dua di kawasan pencarian yang dikesan tersumbat akibat sisa sampah.

Awal dari itu, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Nor Hisham Mohammad merumuskan bahawa operasi SAR dengan kaedah penyelaman adalah terlalu berisiko untuk mereka meneruskan usaha mengesan mangsa.

Faktor risiko yang dikenal pasti ialah penyelam terpaksa berdepan cabaran aliran air yang deras; ruang sempit untuk pasukan penyelamat dan sisa-sisa sampah di kawasan carian.

Justeru itu, kerajaan merancang langkah mitigasi berhubung risiko insiden tanah jerlus yang menjadi keprihatinan umum susulan kejadian yang menimpa pelancong wanita warga India tersebut.

Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi sebelum ini memaklumkan perkara itu telah dibawa kepada perhatian Kabinet dan pihaknya turut memutuskan agar langkah-langkah segera dilakukan bagi mengenal pasti kawasan berisiko sebagaimana Jabatan Kerja Raya mengenal pasti lebih 2,000 lokasi cerun yang berisiko ketika ini.

Tinjauan Bernama ke stesen pam di Loji Indah Water Konsortium Pantai Dalam mendapati JBPM terus melakukan pemeriksaan dua kali sehari dan cuba menjejaki sebarang petunjuk bagi mencari mangsa sehingga dia ditemui.

Susulan insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India, kawasan sekitar Lorong Tuanku Abdul Rahman ditutup sepenuhnya mulai Ahad (1 Sep) untuk memberi laluan kepada operasi SAR serta kerja-kerja ujian tanah dengan menggunakan 'Ground Penetrating Radar'.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dalam kenyataan malam tadi memaklumkan bahawa penutupan kawasan di sekitar Lorong Tuanku Abdul Rahman dan Masjid India adalah perlu bagi memastikan agar keselamatan peniaga serta orang awam terjamin.

Ahli Parlimen Batu P. Prabakaran yang telah bertemu para wakil persatuan yang mewakili lebih 150 peniaga di Jalan Masjid India memaklumkan bahawa mereka berhasrat untuk bertemu dengan agensi kerajaan berkaitan bagi membincangkan isu keselamatan dan masa depan perniagaan mereka.
 
Sumber : Bernama/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita