Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Hari ke-7 operasi menyelamat di Jalan Masjid India: Usaha selam ke lokasi objek tersekat, hadapi kesukaran

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Dua anggota Pasukan Penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) berdepan situasi mendebarkan ketika melakukan selaman awal pagi Khamis (29 Ogos) bagi mencari wanita warga India yang hilang dalam insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India, Jumaat (23 Ogos) lalu.

Berdasarkan pemerhatian di lokasi, kedua-duanya yang lengkap berpakaian skuba telah turun ke lubang itu pada 3.06 pagi dengan diawasi rapi oleh anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang lain.

Selaman itu dilakukan selepas JBPM mengesan halangan berupa objek yang tersekat di antara lokasi tanah jerlus dan lurang kumbahan kedua iaitu terletak kira-kira 80 meter pada Rabu.

Bagaimanapun, tidak sampai setengah jam, mereka telah ditarik naik keluar dari lubang berkenaan dengan bantuan anggota lain sebelum dinyahkuman dan dibersihkan.

Ketika dihampiri Bernama, seorang daripada penyelam terbabit sempat memaklumkan secara ringkas bahawa mereka tidak dapat menghampiri lokasi objek tersekat disebabkan keadaan arus air di dalam lurang kumbahan itu.

Setakat 4.30 pagi ini, tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh JBPM kepada pihak media yang setia menanti sejak tengah malam tadi berhubung usaha terbaharu SAR itu.

Pada Rabu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Ahmad Izram Osman berkata, pasukannya mengesan halangan berupa objek yang tersekat di antara lokasi tanah jerlus dengan lurang kumbahan kedua iaitu terletak kira-kira 80 meter.

Beliau berkata, dapatan itu diperolehi menerusi pengesanan oleh dua anjing Unit Pengesan (K9), Denti dan Frankie, yang dibawa ke lokasi kejadian pada petang Selasa selain pengesanan kamera.

Susulan itu, kerja-kerja menyedut air kumbahan dilakukan lewat malam tadi bagi memudahkan pergerakan penyelam dengan dibantu oleh 75 anggota yang mengawal jentera dan logistik.

Insiden tanah jerlus itu telah menyebabkan seorang wanita dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48 tahun, dari Kuppam, Andhra Pradesh, India hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter dengan operasi SAR memasuki hari ketujuh pada Khamis.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan