Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Harga sayur melonjak di M'sia di tengah musim hujan berpanjangan

Musim hujan berpanjangan di Malaysia telah menyebabkan harga sayur meningkat, menurut persatuan penjual dan petani kepada Mediacorp pada Jumaat (3 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Musim hujan berpanjangan di Malaysia telah menyebabkan harga sayur meningkat, menurut persatuan penjual dan petani kepada Mediacorp pada Jumaat (3 Feb).

"Sekarang ini  musim hujan dan tiada matahari, jadi secara semulajadi harga sayur akan meningkat," kata presiden Persatuan Pemborong Sayur-Sayuran Kuala Lumpur Wong Keng Fatt.

Encik Wong berkata kurangnya cahaya matahari bermakna  pekebun sayur  mendapat hasil tanaman lebih rendah dan ini menyebabkan harga sayur meningkat kerana kurang bekalan.

"Hujan turun di merata Malaysia, jadi sayur-sayuran di kebun tidak dapat tumbuh. Hal ini sudah berlarutan sepanjang dua minggu lalu," katanya.

Encik Wong berkata sayur seperti tomato, timun dan kacang panjang menyaksikan kenaikan harga sebanyak 50 hingga 100 peratus.

Misalnya, beliau menarik perhatian bahawa tomato kini dijual pada harga RM10 (S$3.08) hingga RM11 (S$3.37) sekilogram apabila dibeli secara borong, berbanding RM4 (S$1.23) hingga RM4.50 (S$1.38) sekilogram sebelum Tahun Baru Cina pada bulan lalu. Di pasar raya, ia dijual pada harga sekitar RM13 (S$3.99) sekilogram.

Encik Wong berkata beliau tidak tahu bila harga akan merosot, sambil menambah ia bergantung pada cuaca. "Tiada cahaya matahari sepanjang dua hari lalu. Jika tiada matahari, sukar sekali."

Jabatan Kaji Cuaca Malaysia menyatakan dalam satu kenyataan pada Jumaat bahawa negara itu kini sedang mengalami musim tengkujuh yang bermula pada November tahun lalu dan dijangka berterusan hingga Mac.

"Pada Februari 2023, kebanyakan negeri mengalami paras hujan antara 50 milimeter hingga 250 milimeter kecuali di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Hulu Perak yang akan mengalami paras hujan lebih tinggi daripada purata 50 milimeter hingga 180 milimeter," menurut jabatan itu.

KENAIKAN KOS DISALURKAN KEPADA PENGGUNA

Kenaikan harga sayur-sayuran  borong pula menyebabkan pembeli terpaksa membayar harga lebih tinggi.

"Disebabkan  hujan, pembekal saya menaikkan harga antara 10 hingga  30 peratus," kata Cik Sarasvathi Arunachanan Pillai, 53 tahun, yang menjual sayur di Pasar Besar Klang di Selangor.

Beliau menarik perhatian bahawa pembekalnya kini menjual sayur bayam pada harga RM4 (S$1.23) hingga RM5 (S$1.54) bagi setiap kilogram, berbanding hanya RM1 (S$0.31) hingga RM1.50 (S$0.46) sekilogram pada minggu lalu.

"Kami tidak pasti bagaimana untuk menjual sayur kami kerana harga (yang mereka jual) sama dengan harga di pasar raya," katanya sambil berkongsi bahawa penjual terpaksa menaikkan harga.

Tinjauan Mediacorp di pasar tani di Overseas Union Garden di Kuala Lumpur juga mendapati harga bagi sesetengah sayur naik sehingga 100 peratus sejak bulan lalu.

Ini termasuk sayur biasa digunakan dalam masakan seperti tomato, bendi, kacang panjang dan terung.

Seorang penjual yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Wong berkata harga tomato naik daripada RM4 (S$1.23) kepada RM10 (S$3.08) sekilogram manakala harga kacang panjang pula naik daripada RM6 (S$1.84) kepada RM14 (S$4.29) sekilogram dan harga sayur bendi naik daripada RM6 (S$1.84) kepada RM15 (S$4.60).

"Para pelanggan kami merungut baru-baru ini. Mereka sudah pun terjejas dengan kenaikan harga yang sedikit, apa lagi apabila harga naik lebih  seganda," katanya.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan