Harga sayur di Melaka naik antara 20 hingga 70%
Harga sayur di Melaka didapati meningkat 20 hingga 70 peratus pada minggu ini berikutan kekurangan bekalan, kata Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka Norena Jaafar.
(Gambar: Reuters)
MELAKA: Harga sayur di Melaka didapati meningkat 20 hingga 70 peratus pada minggu ini berikutan kekurangan bekalan, kata Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka Norena Jaafar.
Beliau berkata ini disebabkan oleh penutupan seksyen menjual sayur-sayuran di Pasar Borong Selayang di ibu negara yang merupakan pembekal utama kepada majoriti peniaga barang basah serta pasar raya di Melaka.
“Seksyen itu ditutup Isnin lepas hingga Jumaat ini berikutan penularan COVID-19 di pasar berkenaan.
“KPDNHEP Melaka cuba menampung permintaan dengan mengambil bekalan dari Cameron Highlands, Pahang namun keadaan banjir yang masih belum pulih di negeri itu sedikit-sebanyak menjejaskan usaha-usaha yang dilakukan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini (20 Jan).
Cik Norena berkata selain itu, pihaknya juga cuba mendapatkan bekalan sayur organik daripada petani di Melaka, namun harganya yang agak mahal berbanding sayur yang ditanam secara biasa menyebabkan produk tersebut kurang mendapat sambutan daripada masyarakat.
Dalam pada itu, beliau berkata pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) turut memberi kesan kepada bekalan minyak masak di negeri berkenaan.
“Orang ramai dilihat lebih gemar memasak di rumah sehingga menyebabkan bekalan minyak masak terutama jenis paket satu kilogram (kg) berkurangan di Melaka, selain bekalan yang terjejas akibat banjir di Pahang yang menjadi antara pembekal terbesar minyak masak bagi negeri ini.
“Justeru, KPDNHEP Melaka terpaksa mengehadkan pembelian minyak masak paket satu kg kepada tiga paket bagi setiap pengguna sementara menunggu banjir pulih di Pahang, sekali gus menjamin bekalan sentiasa mencukupi di pasaran,” katanya.
Pada Isnin (18 Jan), dilaporkan lebih 90 kes positif Covid-19 dikesan di Pasar Borong Selayang sekali gus menyebabkan pasar berkenaan ditutup selama empat hari bermula Isnin hingga Jumaat agar semua pekerja di pasar berkenaan boleh disaring.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.