Harga minyak melonjak susulan kebimbangan tentang bekalan meskipun IEA keluarkan jumlah rekod rizab minyak
TOKYO: Harga minyak meningkat manakala pasaran saham merosot di Asia pada Khamis (12 Mac) selepas Iran menyerang dua kapal tangki di Iraq dan mengancam untuk meruntuhkan ekonomi global, meskipun Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) mengumumkan ia akan mengeluarkan jumlah rekod rizab minyak mentah.
Sedang serangan Amerika-Israel ke atas Iran hampir memasuki minggu ketiga, konflik itu menunjukkan tiada tanda-tanda akan reda, dengan Tehran melancarkan lebih banyak serangan balas di seluruh Teluk.
IEA berkata pada Rabu bahawa negara anggotanya bersetuju untuk mengeluarkan 400 juta tong minyak dari rizab mereka – pengeluaran terbesar pernah dilakukan – dengan 172 juta tong dibekalkan Amerika Syarikat.
Namun, langkah itu gagal mengatasi kebimbangan mengenai gangguan bekalan tenaga dari Timur Tengah, dengan Selat Hormuz – laluan bagi 20 peratus minyak dunia – masih tertutup.
Kenaikan harga minyak membangkitkan kebimbangan baharu mengenai lonjakan inflasi dan amaran bahawa bank pusat mungkin terpaksa menaikkan kadar faedah semula, selepas menimbangkan pemotongan pada bulan lalu.
Ini memberi tekanan kepada pasaran ekuiti, yang sekali lagi merosot pada Khamis.
Tokyo, Hong Kong, Sydney, Seoul, Wellington, Singapura, Taipei, Manila, Jakarta dan Shanghai semuanya mencatatkan kemerosotan.
Harga minyak naik lebih 9 peratus pada Khamis (12 Mac), melepasi AS$100 setong sekali lagi, melanjutkan kenaikan 4 peratus sehari sebelumnya.
Harga minyak pernah melonjak sehingga 30 peratus pada Isnin kepada hampir AS$120.
Minyak Brent meningkat 9.3 peratus kepada AS$100.50 pada Khamis, manakala West Texas Intermediate naik 8.8 peratus kepada AS$94.92 sekitar pukul 3.05 pagi waktu GMT.
“Bagi pedagang, ini bukan percanggahan tetapi corak yang biasa,” kata Stephen Innes dari SPI Asset Management, sambil merujuk kepada kenaikan harga minyak selepas pengumuman tentang langkah IEA itu.
“Apabila keadaan geopolitik masih bergolak di sekitar Selat Hormuz, mengeluarkan bekalan daripada simpanan kecemasan bukan penyelesaian sebenar tetapi lebih kepada tindakan simbolik.
“Ia mungkin mengurangkan turun naik harga untuk beberapa jam, tetapi tidak mempengaruhi risikonya apabila laluan perkapalan paling penting di dunia terancam.
“Dari segi perdagangan, pengeluaran minyak IEA ibarat menggunakan hos air di rumah untuk memadamkan api di loji penapisan.”
Sementara itu, Iran berkata mereka bersedia untuk terlibat dalam konflik berpanjangan yang sekali gus akan “memusnahkan” ekonomi dunia.
Pengawal Revolusi Iran memberi amaran pada Rabu bahawa mereka akan menyerang “pusat ekonomi dan bank” yang berkaitan dengan kepentingan Amerika dan Israel.
Iran juga telah melancarkan serangan ke atas kapal dagang di Selat Hormuz, sambil memberi amaran kepada dunia agar bersedia untuk melihat harga minyak naik kepada AS$200 setong.
“Bersedia untuk melihat minyak pada AS$200 setong, kerana harga minyak bergantung kepada keselamatan serantau yang telah anda ganggu,” kata Ebrahim Zolfaqari, jurucakap komando tentera Iran, dalam kenyataan kepada Washington.
Tiga kapal dilaporkan telah diserang di perairan Teluk sedang Pengawal Revolusi berkata mereka telah menyerang kapal yang tidak mematuhi arahan mereka.
Sebuah kapal kargo pukal yang mengibarkan bendera Thailand terbakar, memaksa anak kapal meninggalkan kapal itu, dengan tiga orang dilaporkan hilang dan dipercayai terperangkap di bilik enjin.
Dua kapal lain, iaitu sebuah kapal kontena dengan bendera Jepun dan sebuah kapal kargo pukal dengan bendera Kepulauan Marshall, juga dilaporkan mengalami kerosakan akibat peluru. Dengan ini, sebanyak 14 kapal sudah diserang sejak perang bermula.
Di perairan Iraq, dua kapal tangki terbakar pada Khamis.
Gambar-gambar, yang disahkan oleh Reuters telah dirakam dari pantai pelabuhan Basra, menunjukkan kapal-kapal itu dijilat api yang menerangi langit malam.
Pihak berkuasa Iraq berkata kapal-kapal itu diserang pada waktu malam oleh bot Iran yang dipenuhi bahan letupan. Sekurang-kurangnya seorang kru terbunuh.
Presiden Amerika Donald Trump, yang belum menetapkan garis masa operasi ketenteraan, membayangkan pada Rabu bahawa beliau belum bersedia untuk mengisytiharkan perang sudah tamat.
Di satu perhimpunan di Kentucky, beliau berkata “kami menang” perang itu, tetapi ASmerika tidak mahu terpaksa kembali setiap dua tahun.
“Kita tidak mahu pergi awal, betul tak?” katanya. “Kita mesti selesaikan kerja ini.”
Encik Trump berkata Amerika kini akan “meneliti dengan serius” Selat Hormuz, sambil menambah: “Selat ini dalam keadaan baik. Kami telah menumpaskan semua bot mereka. Mereka ada beberapa peluru berpandu, tetapi tidak banyak.”
Namun begitu, tiada tanda menunjukkan kapal-kapal boleh belayar dengan selamat melalui selat itu. Jurucakap tentera Iran berkata selat itu “tidak ragu-ragu lagi” berada di bawah kawalan Iran.
Menurut Neil Wilson dari Saxo Markets, perang itu telah menyebabkan kerugian sekitar 200 juta tong.
Dan, katanya, “rizab ialah simpanan stok sedia ada – pasaran lebih bimbang tentang aliran. Menggerakkan tong dari titik A ke titik B tidak sama dengan menghasilkan minyak baharu.”
Pemerhati kini memberi amaran bahawa tanpa tanda-tanda konflik itu akan berakhir, julat harga AS$90-AS$100 setong mungkin menjadi perkara lazim baharu buat sementara waktu.
PENGELUARAN MINYAK IEA MEMBERI KELEGAAN SEKETIKA: PENGANALISIS
Langkah IEA mungkin menenangkan pasaran buat seketika tetapi tidak mungkin mengimbangi gangguan berpanjangan di Selat Hormuz, menurut Sushant Gupta, pengarah penyelidikan untuk penapisan dan minyak Asia Pasifik di firma perundingan Wood Mackenzie.
Encik Gupta berkata jumlah 400 juta tong kelihatan besar, tetapi selat yang tersekat itu biasanya mengendalikan sekitar 15 juta tong minyak mentah setiap hari. Secara teori, jumlah minyak IEA itu setara dengan kira-kira 26 hari, katanya.
“Walaupun 400 juta tong adalah jumlah besar, tetapi hakikatnya, pasaran masih bimbang berapa lama ia dapat bertahan dan berapa cepat (pengeluaran IEA) dapat sampai ke pasaran,” katanya.
Beliau menambah bahawa kelewatan dari segi logistik, proses lelongan dan perbezaan mutu minyak mentah boleh melambatkan penghantaran.
Tanpa penghantaran tepat pada waktunya, Encik Gupta memberi amaran bahawa operasi penapisan global boleh susut sekitar 20 peratus, sekali gus mengehadkan lagi bekalan bahan api.
Mengenai amaran Iran bahawa harga minyak akan naik kepada AS$200 setong, Encik Gupta berkata: “Ia tidak boleh diketepikan, tetapi gangguan bekalan perlu cukup serius sehingga harganya mencapai tahap itu."
Beliau berkata harga yang kekal melepasi AS$100 setong boleh mendorong pengguna dan perniagaan mengurangkan perjalanan dan penggunaan bahan api, yang membantu mengurangkan permintaan dan melegakan tekanan pasaran.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.