Skip to main content

Dunia

Harga minyak masak botol di M'sia dijangka turun dalam masa terdekat

Ini selari dengan penurunan harga minyak masak mentah dari RM7,000 (S$2,190) setiap tan metrik kepada RM3,600 (S$1,130) setiap metrik tan minggu ini.

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Harga minyak masak botol di Malaysia dijangka akan turun dalam masa terdekat selari dengan penurunan harga minyak masak mentah dari RM7,000 (S$2,190) setiap tan metrik kepada RM3,600 (S$1,130) setiap metrik tan minggu ini.

Dalam pada itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi berkata strategi dalam menangani inflasi serta kos sara hidup yang dilaksanakan dengan bekerjasama erat bersama Pasukan Khas Jihad Menangani Inflasi juga menampakkan hasil terutamanya berkaitan isu ayam dan telur.

“Strategi lima serampang yang kita laksanakan adalah kawalan harga barang keperluan asas menerusi subsidi bersasar, libat urus berterusan bersama pemain industri bagi menstabilkan harga dan peningkatan penguatkuasaan melalui kolaborasi dengan semua agensi penguatkuasaan untuk mengurangkan ketirisan terutama barang bersubsidi.

“Selain itu, strategi lain adalah dengan memperluaskan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) meliputi 613 kawasan Dewan Undangan Negeri dalam usaha mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat melalui tawaran barangan asas yang murah sehingga 20 peratus berbanding harga di pasaran setempat,” katanya.

Strategi terakhir termasuk advokasi perubahan kecil terhadap gaya hidup pengguna untuk mempengaruhi permintaan dan seterusnya harga barangan di pasaran tempatan, jelas beliau kepada wartawan selepas perhimpunan bulanan kementerian itu hari ini (20 Jul).

Encik Nanta berkata KPDNHEP akan meneruskan strategi lima serampang itu dalam menangani inflasi dan kos sara hidup yang sedang dihadapi negara serta rakyat ketika ini.

“Melalui sesi libat urus dengan pemain industri bersama kementerian lain termasuk Pasukan Khas Jihad Menangani Inflasi juga kami sudah bincang, memang sesi libat urus ini kami yakin akan beri kesan penurunan pada harga minyak masak dan barangan keperluan lain,” katanya.

Encik Nanta menambah sehingga kini, penjualan Perdagangan Borong dan Runcit Malaysia sudah mencatatkan rekod baru pada Mei 2022 dengan pertumbuhan 19.9 peratus dari tahun ke tahun, berjumlah RM129.8 bilion (S$40.6 bilion) seperti diumumkan Jabatan Perangkaan Malaysia.

“Sehubungan itu, KPDNHEP telah menilai semula semua inisiatif dan program kementerian berimpak tinggi agar pemulihan ekonomi negara menerusi perdagangan dalam negeri dan pendayaupayaan pengguna terus berjalan seperti dirancang,” ujar belia lanjut.

Awal dari it, Encik Nanta dalam ucapannya berkata insentif pengurangan kompaun menerusi Akta Syarikat 1965 (Akta 125) yang dilaksanakan bagi tempoh bermula 1 Mac 2022 hingga 30 Jun 2022 akan dilanjutkan untuk empat bulan lagi.

“Menyelami kesukaran komuniti perniagaan yang rata-rata masih bergelut untuk kembali bangkit daripada kesan pandemik COVID-19, SSM mengambil langkah melanjutkan insentif ini untuk empat bulan lagi berkuat kuasa mulai 1 Julai 2022 hingga 31 Okt 2022.

“Bersandarkan insentif ini, syarikat dan pengarah syarikat layak mendapat pengurangan 90 peratus daripada nilai asal kompaun yang ditawarkan mengikut Akta 125. Mengikut rekod semasa, sebanyak 1,578 syarikat menikmati pengurangan kompaun sejak inisiatif ini diperkenalkan,” katanya.
Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita