Skip to main content

Dunia

Harga makanan global naik bagi bulan ketiga berturut-turut

Harga makanan dunia meningkat bagi bulan ketiga berturut-turut pada April, didorong terutamanya oleh kenaikan harga minyak sayuran serta peningkatan harga bijirin dan beras menyusuli kos tenaga yang tinggi, menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) pada Jumaat (8 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Harga makanan global naik bagi bulan ketiga berturut-turut

Harga makanan global meningkat bagi bulan ketiga berturut-turut pada April 2026. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 08 May 2026 11:41PM
ISTANBUL: Harga makanan dunia meningkat bagi bulan ketiga berturut-turut pada April, didorong terutamanya oleh kenaikan harga minyak sayuran serta peningkatan harga bijirin dan beras menyusuli kos tenaga yang tinggi, menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) pada Jumaat (8 Mei).

“Penanda aras harga komoditi makanan dunia meningkat pada April bagi bulan ketiga berturut-turut susulan kos tenaga yang tinggi dan gangguan akibat konflik di Timur Tengah,” lapor Anadolu Ajansi memetik kenyataan agensi itu.

Indeks Harga Makanan FAO mencatat purata 130.7 mata pada April, meningkat 1.6 peratus berbanding paras disemak semula pada Mac dan dua peratus lebih tinggi berbanding setahun sebelumnya.

Indeks Harga Minyak Sayuran FAO meningkat 5.9 peratus berbanding Mac kepada paras tertinggi sejak Julai 2022, disokong oleh kenaikan harga minyak sawit, soya, bunga matahari dan biji sesawi.

Ketua Ahli Ekonomi FAO Maximo Torero berkata sistem agromakanan global terus menunjukkan daya tahan walaupun berdepan gangguan berkaitan krisis Selat Hormuz, manakala minyak sayuran mencatat kenaikan harga lebih ketara sebahagian besarnya disebabkan harga minyak yang lebih tinggi serta permintaan biofuel yang meningkat.

Indeks Harga Bijirin FAO meningkat 0.8 peratus dari bulan ke bulan, mencerminkan kenaikan harga gandum dan jagung, manakala Indeks Harga Beras meningkat 1.9 peratus apabila harga minyak mentah dan produk turunannya meningkatkan kos pengeluaran dan pemasaran di negara pengeksport beras.

Indeks Harga Daging FAO mencapai paras tertinggi baharu pada April, meningkat 1.2 peratus berbanding Mac dan 6.4 peratus dari tahun ke tahun, didahului oleh kenaikan harga daging lembu.

Sebaliknya, Indeks Harga Produk Tenusu susut 1.1 peratus berbanding Mac, manakala Indeks Harga Gula turun 4.7 peratus, berikutan tekanan jangkaan bekalan global yang mencukupi.

FAO turut menaikkan unjuran pengeluaran bijirin global bagi 2025 kepada 3.04 bilion tan, meningkat enam peratus berbanding tahun sebelumnya, manakala unjuran pengeluaran gandum bagi 2026 disemak turun sedikit kepada 817 juta tan.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita