Harga makanan di Indonesia dijangka terus meningkat dek perang Ukraine
Konflik di Eropah itu sudah teruk menjejas perdagangan global, dengan harga gandum dan bijirin melonjak, disebabkan sekatan yang dkenakan ke atas pelabuhan-pelabuhan Ukraine.
Konflik di Eropah itu sudah teruk menjejas perdagangan global, dengan harga gandum dan bijirin melonjak, disebabkan sekatan yang dkenakan ke atas pelabuhan-pelabuhan Ukraine.
BERITAmediacorp singkap bagaimana pelbagai gangguan itu meningkatkan kebimbangan tentang keselamatan bekalan makanan di Indonesia.
HARGA MI SEGERA MENINGKAT
Mi segera amat popular di Indonesia, bukan saja untuk dimakan di rumah, tetapi juga di warung-warung tepi jalan.
Makanan asas itu tersedia dalam pelbagai perisa serta ia mudah, murah dan berselera.
Agus Mulyadi telah menjaja mi segera di Jakarta Selatan sejak lapan tahun lalu.
Berusia 42 tahun, Agus berkongsi bahawa harga mi segera naik lebih 20 peratus sejak dua bulan lalu.
Beliau tidak punya banyak pilihan, kecuali memindahkan kos itu kepada pelanggan.
Beliau berkongsi: "Indomie pakai telur sekarang sudah RP13,000 (S$1.20), pakai telur RP10,000 (S$0.93), sudah naik. Biasanya pakai telur kalau dulu masih boleh jual RP10,000(S$0.93)."
PERANG UKRAINE SEKAT EKSPORT GANDUM, BAHAN ASAS
Perang yang tercetus di Ukraine Februari lalu dipersalahkan atas kenaikan harga mi segera.
Konflik tersebut menyekat eksport gandum, bahan asas mi segera dari Ukraine.
Indonesia merupakan pengimport gandum terbesar dunia, dan Ukraine merupakan salah satu pembekal utamanya.
Ukraine menghentikan eksport gandumnya, serta makanan asas yang lain, agar keperluan rakyatnya dapat dipenuhi sedang perang melanda.
Pelabuhan-pelabuhannya juga disekat kapal-kapal perang Rusia.
Bulan lalu, Presiden Indonesia Joko Widodo telah ke Kyiv dan Moscow untuk satu misi perdamaian.
Salah satu matlamat beliau adalah meyakinkan kedua-dua pihak yang bertelagah itu untuk memulihkan eksport bijirin ke pasaran global.
Presiden Widodo berkata: "Saya sangat menghargai Presiden Putin yang tadi menyampaikan bahawa memberikan jaminan keamanan untuk bekalan panen dan pupuk baik dari Rusia mahupun dari Ukraine."
Syarikat-syarikat makanan memuji usaha Pak Jokowi untuk menyertakan semula Ukraine dan Rusia ke dalam rantaian bekalan makanan dunia.
Namun masih ada kebimbangan tentang perang yang berlarutan.
Pengerusi Persatuan Pengeluar Makanan dan Minuman Indonesia (GAPMMI), Adhi Lukman berkata: "Tahun ini ketersediaan saya tidak terlalu khuatir kerana tahun lalu tanam, dituai tahun ini.
"Tetapi, kalau ini berpanjangan akan sulit untuk tanam baru. Tahun depan, ini akan menjadi lebih bahaya, bukan dengan harga saja tapi ketersediaan."
Para aktivis menolak dasar menjadikan makanan sebagai alat politik, serta mengamalkan monopoli.
Harga makanan yang tinggi turut mendorong kadar inflasi bulan Jun kepada 4.35 peratus, tertinggi sejak 2017.
Seorang penduduk Jakarta, Carli, berkongsi: "Untuk saat ini, saya juga mengurangkan perbelanjaan. Saya juga sewa rumah. Jadi, hemat belanja."
HARGA MAKANAN DIJANGKA TERUS NAIK
Harga makanan dijangka akan terus naik hingga akhir tahun ini.
Penjual mi segera seperti Agus sedar, tidak ada huraian segera untk menamatkan perang Rusia-Ukraine, namun beliau berharap kedua-duanya dapat kembali menikmati kedamaian secepatnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.