Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Harga makanan di Hong Kong dijangka turun apabila pemandu lori dibenarkan masuk semula ke China

Anggaran Waktu Membaca:
HONG KONG: Penduduk di Hong Kong mungkin boleh mendapatkan makanan yang lebih murah di pasar dan restoran tidak lama lagi apabila pemandu lori sekali lagi dibenarkan masuk ke tanah besar China untuk mengambil barang-barang penghantaran.

Di bawah peraturan baru yang bermula pada Isnin (12 Dis), pemandu boleh meneruskan perjalanan mereka dengan bukti ujian negatif COVID-19.

Sebelum ini, pemandu lori dari bandar itu tidak dibenarkan masuk, malah perlu menyerahkan kenderaan mereka ke rakan sekerja di China di sempadan.

Ini bermakna bahawa para pemandu lori terpaksa menghabiskan masa berjam-jam untuk membasmi kuman dalam kenderaan mereka sebelum menyerah kenderaan mereka, sekaligus menambah kos import yang akhirnya disalurkan kepada pengguna.

Tiada kuota dikenakan buat jumlah pemandu yang dibenarkan masuk.

Pelonggaran peraturan untuk pemandu lori itu menyusuli langkah Beijing melonggarkan peraturan COVID-19, dan menimbulkan harapan bahawa perjalanan rentas sempadan antara wilayah dan tanah besar China akan disambung semula tidak lama lagi.

KOS YANG LEBIH TINGGI

Awal tahun ini, pemandu lori masih dibenarkan untuk merentas ke tanah besar China namun mereka dikenakan tempoh kuarantin yang lebih lama dan keperluan ujian saringan yang ketat.

Menjelang Mac, pihak berkuasa China melarang para pemandu lori daripada memasuki tanah besar sama sekali dalam usaha untuk mengurangkan kemungkinan jangkitan rentas sempadan.

Akibatnya, harga makanan di pasar dan restoran meningkat, dan sejak itu melonjak 15 hingga 20 peratus.

Penduduk di Hong Kong berharap perubahan pada pengaturan pemandu lori itu akan membawa kelegaan kewangan tidak lama lagi.

Pemain industri menganggarkan bahawa Hong Kong pada masa ini hanya melaksanakan satu pertiga daripada 24,000 penghantaran yang biasanya dilakukan dalam sehari disebabkan kekurangan tenaga kerja.

"Dalam hal ini, kami jangkakan bahawa kos penghantaran akan merosot kira-kira 30 hingga 40 peratus," kata Encik Simon Wong, presiden Persekutuan Restoran dan Perdagangan Berkaitan Hong Kong.

Beliau menambah bahawa akhir tahun adalah sangat penting untuk sektor itu kerana ada permintaan untuk penghantaran ulang alik dari China dan Hong Kong semasa tempoh perayaan Krismas dan Tahun Baru Cina.

Perubahan itu akan dilaksanakan secara bertahap-tahap namun ia menandakan langkah ke arah penyambungan semula rentas sempadan dalam jangka masa panjang.
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan