Skip to main content

Dunia

Harga durian termasuk Musang King turun 50 peratus di Malaysia

Anggaran Waktu Membaca:
Harga durian termasuk Musang King turun 50 peratus di Malaysia

Gambar fail.

Diterbitkan : 11 Jan 2026 10:32PM Dikemas Kini : 11 Jan 2026 10:34PM
MELAKA: Musim durian kali ini dijangka berakhir dalam tempoh dua minggu lagi sebelum kembali semula pada Mac depan.

Seorang peniaga durian, Heng Gan Thian Yew, 28, berkata ketika ini permintaan terhadap raja buah itu masih memberangsangkan susulan penurunan harga sehingga 50 peratus berikutan musim durian yang berlaku hampir di seluruh negara.

Menurutnya, walaupun terdapat lambakan durian di negeri pengeluar seperti Johor dan Pahang, keadaan tersebut tidak berlaku di Melaka yang masih belum memasuki musim durian, lapor Sinar Harian.

“Hampir seluruh kawasan di negara ini sedang musim durian, cuma Melaka belum berbuah. Sebab itu berlaku lambakan di negeri pengeluar, tetapi di Melaka tidak terlalu ketara.

“Disebabkan itu, kami peniaga mengambil bekalan dari Johor dan Pahang. Pelanggan pula gembira kerana dapat menikmati durian gred berkualiti dengan harga lebih murah,” katanya.

Beliau menambah, bagi mengelakkan isu lambakan, beliau mengambil beberapa langkah bagi mengelakkan kerugian.

“Selain menjual pada harga lebih murah, kami turut menitikberatkan kualiti. Kami membantu proses pembungkusan dan sekiranya terdapat buah rosak, kami akan menggantikannya.

“Selain jualan secara terus, saya turut menyediakan perkhidmatan pemasaran dalam talian serta khidmat penghantaran menggunakan Lalamove kepada pelanggan yang berminat,” katanya, seperti dinukil laporan Sinar Harian.

Beliau menambah, permintaan ketika ini masih baik disebabkan musim cuti sekolah, namun dijangka menurun selepas sesi persekolahan bermula Isnin (12 Jan).

“Musim ini berbaki kira-kira dua minggu lagi sebelum musim kembali semula sekitar Mac, khususnya di kawasan Muar, Johor,” katanya.

Seorang lagi peniaga, Muhammad Aiman Mohd Nasri, 26, berkata penurunan harga itu dibuat bagi mengelakkan lambakan serta memberi peluang masyarakat menikmati durian premium pada harga berpatutan.

“Jika sebelum ini Musang King boleh mencecah RM48 (S$15) hingga RM58 (S$18) sekilogram, kini kami menjualnya pada harga RM20 (S$6), RM28 (S$9) dan RM38 (S$12) mengikut saiz.

“Langkah ini juga dapat membantu pelanggan menguruskan perbelanjaan dapat makan durian dan pada masa sama tak menjejaskan persiapan persekolahan anak-anak,” katanya.
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita