Skip to main content

Dunia

Harga bilik hotel di Malaysia dijangka naik jika cadangan dasar penginapan 23 jam sehari dilaksana

Anggaran Waktu Membaca:
Harga bilik hotel di Malaysia dijangka naik jika cadangan dasar penginapan 23 jam sehari dilaksana

(Gambar: iStock)

Diterbitkan : 22 Oct 2024 07:05PM
KUALA LUMPUR: Kadar penginapan di hotel dijangka meningkat jika kerajaan menetapkan dasar menginap sekurang-kurangnya 23 jam sehari.

Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Christina Toh, berkata pelaksanaan dasar itu akan membawa kepada kos operasi lebih tinggi dan berkemungkinan menyebabkan kenaikan harga bilik.

"Operasi hotel mengalami kenaikan kos dengan gaji minimum baharu ditetapkan berkuat kuasa pada Februari 2025.

"Tekanan kewangan tambahan akan meningkatkan beban industri dan pengusaha hotel sedang bergelut dengan perkara ini," katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa (22 Okt)

Ahad lalu (20 Okt), Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Tiong King Sing, menggesa pengusaha hotel menyelaraskan semula masa daftar masuk dan keluar bagi memastikan pengguna menerima waktu penginapan sekurang-kurangnya 23 jam sehari.

Menurutnya, penginapan 23 jam sehari adalah perkara biasa di luar negara dan tidak menjejaskan soal kebersihan atau kualiti penginapan.

Cik Christina berkata, cadangan berkenaan dilihat tidak praktikal dan akan mewujudkan pelbagai cabaran untuk pengusaha hotel dan tetamu.

"Pertambahan tempoh penginapan akan mendorong kepada kesukaran untuk mengekalkan kebersihan, keselamatan dan kualiti bilik kerana sektor ini bergelut dengan kekurangan tenaga kerja terutama di bahagian pengemasan.

"Masa daftar masuk yang lazim di seluruh dunia ialah antara jam 2.00 hingga 3.00 petang manakala daftar keluar ditetapkan antara jam 11.00 pagi hingga 12.00 tengah hari.

"Waktu itu penting untuk memberi masa mencukupi kepada pihak hotel mengekalkan mutu terbabit," katanya.

Beliau berkata, mengharapkan pihak hotel membersihkan bilik dalam tempoh satu hingga dua jam terutama pada musim sibuk atau kadar huni tinggi, akan menjejaskan tahap kebersihan, keselamatan dan kualiti hotel.

"Walaupun MOTAC menawarkan bantuan untuk memudahkan perbincangan dengan kementerian lain, MAH menegaskan pelaksanaan standard penginapan 23 jam di seluruh negara memerlukan lebih daripada jaminan.

"Kita perlu memastikan masalah kekurangan tenaga kerja diselesaikan sepenuhnya sebelum melaksanakan apa juga dasar baharu yang boleh memburukkan operasi," katanya.
Sumber : Agensi berita/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita