Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Harga, bekalan ayam di M'sia sudah stabil

Pemeriksaan oleh pihak berkuasa mendedahkan kebanyakan ayam di pasaran dijual pada harga lebih rendah daripada had harga RM9.40 (S$3.00) setiap kilogram yang ditetapkan, kata Encik Annuar di sidang media pada Khamis (7 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Harga, bekalan ayam di M'sia sudah stabil

Kebanyakan ayam diimport hiduphidup dari Malaysia dan kemudian disembelih serta dibekukan di Singapura. (Gambar: Mohd RASFAN/AFP)

KUALA LUMPUR: Bekalan dan harga ayam di Malaysia sudahpun stabil, kata Annuar Musa, pengerusi pasukan bertindak khas terhadap inflasi.

Pemeriksaan oleh pihak berkuasa mendedahkan kebanyakan ayam di pasaran dijual pada harga lebih rendah daripada had harga RM9.40 (S$3.00) setiap kilogram yang ditetapkan, kata Encik Annuar di sidang media pada Khamis (7 Jul).

“Berdasarkan kemas kini yang sudah kami terima, kami sudah berjaya menstabilkan keadaan, harga dan bekalan ayam...Mengikut pemeriksaan oleh agensi penguatkuasaan, ayam dijual pada harga lebih rendah daripada harga siling," katanya.

“Bahkan, ada ramai penjual yang dapat menjualnya pada harga jauh lebih rendah berbanding harga siling, sesetengah daripada mereka malah menjualnya lebih rendah daripada RM9 setiap kilogram (S$2.80)," tambah Encik Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Pada 29 Jun lalu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi di bawah kepimpinan Encik Annuar, demi membantu rakyat Malaysia menangani cabaran kos hidup yang semakin meningkat.

Dalam menangani masalah harga ayam yang kian meningkat, kerajaan menetapkan satu harga siling baru pada RM9.40 setiap kilogram bagi ayam biasa , berkuat kuasa 1 Julai.

Ini adalah ayam-ayam yang sudahpun diproses dan dijual dengan kepala, kaki serta organnya tidak dipotong mahupun ditanggalkan.

Awal dari itu, kerajaan mengharamkan eksport sehingga 3.6 juta ayam bermula 1 Jun. Ia sebagai usaha untuk menangani isu-isu bekalan dan harga ayam di negara tersebut.

Larangan itu berkuat kuasa ekoran aduan tentang kekurangan bekalan dan kenaikan harga ayam, dengan sesetengah peniaga menjual ayamnya pada harga lebih mahal daripada harga siling untuk menampung kos mereka.

Peniaga ayam mengadu bahawa kenaikan kos menternak ayam sudahpun mengurangkan garis keuntungan mereka, terutamanya setelah mekanisme kawalan harga berkuat kuasa November 2021.

Encik Annuar berkata kerajaan sudahpun meningkatkan pengagihan subsidi kepada penternak ayam. Ia, antara lain, membolehkan mereka untuk menerima pembayaran lebih awal terutama bagi penternak dari perusahaan kecil dan sederhana (SME).

“Mereka diberikan pembayaran awal sebelum mereka membuat tuntutan penuh mereka," kata Encik Annuar.

Beliau menambah subsidi berjumlah RM1.1 bilion (S$347 juta) sudahpun diagihkan sejak skim tersebut dimulakan pada Februari.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan ia akan berhenti memberikan subsidi kepada penternak ayam mulai 1 Julai.

Encik Annuar juga berkata prosedur import bagi sesetengah komoditi termasuk gandum, soya, jagung dan makanan untuk haiwan sudahpun dipermudahkan serya diberikan keutamaan sehingga bekalan ayam distabilkan.

Beliau menambah pihaknya juga sudah mempercepatkan pengeluaran permit import, dengan kelulusan sementara diberikan mulai 1 Julai.

“Kini, ia mengambil tujuh hari bekerja berbanding 30 hingga 90 hari sebelumnya. Ini memberi manfaat kepada 380 syarikat yang mengimport makanan ternakan," katanya.

Encik Annuar juga berkata pasukan tersebut sudahpun menambah jumlah pusat pemprosesan dan penyembelihan di luar negara, terutama di Thailand dan China.
Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan