Harga barangan asas di Johor Bahru naik sedikit
Harga barangan asas di Kuala Lumpur dan bandar raya Ipoh pada Khamis (7 Mei) menunjukkan trend konsisten, namun terdapat sedikit peningkatan di Johor Bahru berbanding Rabu (6 Mei).
(Gambar: BERNAMA)
Di Johor Bahru, pemerhatian menerusi aplikasi Price Catcher Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menunjukkan harga ayam standard dijual pada RM6.99 (S$2.26) hingga RM11 (S$3.55) sekilogram di beberapa pasar raya, meningkat berbanding serendah RM6 (S$1.94) sekilogram pada Rabu.
Cili merah pula dijual antara RM5.90 (S$1.90) hingga RM17 (S$5.48) sekilogram pada Khamis berbanding serendah RM4.99 (S$1.61) sekilogram pada Rabu.
Telur Gred C pula bermula pada harga RM8.09 (S$2.61) hingga RM13.35 (S$4.31) pada Khamis, berbanding RM7 (S$2.26) pada Rabu.
Sementara itu, di pasar raya sekitar Kuala Lumpur, harga ayam bersih super, kekal stabil pada kadar RM10.29 (S$3.32) hingga RM10.90 (S$3.52) sekilogram pada Khamis dan Rabu, berdasarkan pemerhatian menerusi aplikasi itu.
Harga telur ayam pek 30 biji bagi semua gred juga kekal, iaitu Gred A antara RM11.39 (S$3.68) hingga RM14.40 (S$4.65), Gred B (RM9.70 (S$3.13) hingga RM13.50 (S$4.36)) dan Gred C (RM8.49 (S$2.74) hingga RM9.70 (S$3.13)).
Bagaimanapun, harga ayam bersih standard meningkat kepada RM8.20 (S$2.65) hingga RM11 (S$3.55)sekilogram berbanding RM7.99 (S$2.58) hingga RM10 (S$3.23) yang direkodkan pada Rabu.
Harga bawang besar import dari India juga menunjukkan sedikit peningkatan, iaitu antara RM2.69 (S$0.87) hingga RM5 (S$1.61)sekilogram, berbanding RM2.49 (S$0.80) hingga RM5 (S$1.61) pada Rabu.
Di Ipoh, pemerhatian menerusi aplikasi berkenaan juga mendapati harga ayam bersih standard konsisten antara RM7.59 (S$2.45) hingga RM11 (S$3.55) sekilogram pada Khamis dan Rabu.
Telur Gred A (30 biji) kekal pada harga RM9.90 (S$3.19) hingga RM13.20 (S$4.26), manakala bawang besar import India dijual antara RM1.39 (S$0.45) hingga RM5 (S$1.61) sekilogram.
Bagaimanapun, berlaku sedikit peningkatan harga bagi cili merah yang dijual pada harga RM10.99 (S$3.55) sekilogram pada Khamis berbanding RM10 (S$3.23) pada Rabu, dengan harga tertinggi dilaporkan mencecah RM20 (S$6.45) sekilogram di lokasi tertentu di bandar raya itu.
Menurut maklumat dalam aplikasi itu, harga yang dipaparkan adalah berdasarkan hasil pemantauan pegawai KPDN di premis-premis terlibat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.