Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Harga ayam, telur lonjak naik lebih tinggi andai kerajaan tidak campur tangan

Harga ayam serta telur akan melonjak naik lebih tinggi sekiranya tiada campur tangan daripada kerajaan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi.

Anggaran Waktu Membaca:
Harga ayam, telur lonjak naik lebih tinggi andai kerajaan tidak campur tangan

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 08 Jan 2022 04:46PM Dikemas Kini : 08 Jan 2022 04:48PM

PUTRAJAYA: Harga ayam serta telur akan melonjak naik lebih tinggi sekiranya tiada campur tangan daripada kerajaan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi.

Justeru, beliau berkata kerajaan termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sentiasa mengambil langkah proaktif untuk mengimbangi kenaikan harga ayam serta telur di pasaran.

Antara langkah yang dilakukan termasuk pelanjutan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) sehingga 4 Februari ini, mengimport ayam bulat sejuk beku dan pemberian kemudahan pinjaman mudah kepada industri penternakan ayam negara bagi mengatasi masalah lonjakan harga ayam di pasaran.

Encik Nanta berkata pelaksanaan SHMKM yang dijadual berakhir 31 Disember 2021 dilanjutkan selama 35 hari lagi, berkuat kuasa 1 Januari hingga 4 Februari 2022, dengan harga maksimum ayam ditetapkan pada RM6.10 sekilogram (S$2) sehingga 4 Februari 2022 di peringkat ladang, RM7.80 sekilogram (S$2.50) di peringkat borong dan RM9.10 sekilogram (S$3) di peringkat peruncit.

Selain itu, usaha mengimport ayam bulat sejuk beku sehingga 10,000 tan metrik atau 5.5 juta ekor sebulan. Tindakan ini sedang diusahakan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

"Dengan penambahan bekalan di pasaran, situasi ini dapat menampung sebarang kekurangan bekalan ayam dan mewujudkan persaingan sihat yang seterusnya akan dapat mengawal dan mengimbangi harga ayam di pasaran," katanya dalam catatan Facebook pada Sabtu (8 Jan). Ia dikeluarkan berikutan kenyataannya berhubung jangkaan kenaikan harga ayam dan telur di pasaran selepas SHMKM berakhir 4 Februari nanti.

Menjelas lanjut, beliau berkata kenyataan itu bukan sengaja diada-adakan tetapi berdasarkan hasil maklumat yang diterima daripada sesi libat urus yang diadakan 6 Januari lalu bersama dengan MAFI, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Kementerian Kewangan, wakil Agrobank serta Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM).

Menurut beliau, setiap pihak membentangkan faktor kenaikan kos operasi penternakan ayam termasuk peningkatan kos makanan ayam di peringkat global dan kekurangan tenaga kerja akibat sekatan kemasukan pekerja asing bagi sektor tersebut.

Encik Nanta berkata kerajaan juga memberi kemudahan pinjaman mudah atau 'soft loan' kepada industri penternakan ayam negara bagi mengatasi masalah lonjakan harga ayam di pasaran dengan peruntukan bantuan sebanyak RM262 juta (S$84.5 juta) untuk membantu peladang yang terjejas akibat kenaikan harga baja dan racun. 

Encik Nanta menjelaskan isu kenaikan harga ayam, yang melibatkan kos operasi yang dipengaruhi oleh pasaran dunia, sememangnya amat mencabar dan memerlukan kerjasama pelbagai kementerian serta agensi.

“Walau bagaimanapun, KPDNHEP akan terus memantau kenaikan harga dari semasa ke semasa dan memberi jaminan akan mengambil tindakan yang sewajarnya bagi menjaga kebajikan kedua-dua pihak iaitu pengguna dan peniaga,” tegasnya.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan