Harga ayam M'sia dijangka naik bulan depan apabila skim harga maksimum runcit dimansuhkan

(Gambar: BERNAMA)
PUTRAJAYA: Harga ayam di Malaysia dijangka naik bulan depan apabila ia diapungkan ekoran berakhirnya skim harga maksimum runcit ayam pada 30 Jun ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi berkata susulan jangkaan kenaikan harga ayam, Kementerian Kewangan (MOF) sedang merangka pemberian bantuan kepada golongan memerlukan, yang akan dimuktamadkan hujung bulan ini.
"MOF akan laksanakan sesuatu untuk bantu mereka yang memerlukan, dalam berdepan dengan kenaikan harga ayam di pasaran,” katanya kepada sidang media selepas majlis perhimpunan bulanan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada Khamis (16 Jun).
Pada masa ini, kerajaan menetapkan harga maksimum runcit ayam dan telur bagi Semenanjung Malaysia bagi ayam bulat standard adalah pada RM8.90 (S$2.80) sekilogram dan ayam bulat super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal) pada RM9.90 (S$3.10) sekilogram.
Sebelum ini dilaporkan pihak penternak berharap kerajaan mengapungkan harga ayam susulan penamatan subsidi kepada mereka. Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, mulai 1 Julai, Putrajaya tidak lagi akan memberikan subsidi kepada penternak ayam.
Encik Nanta berkata penamatan skim harga maksimum ayam bukan bermaksud kerajaan tidak mempedulikan pengguna, tetapi ia boleh menjejaskan industri ternakan ayam dalam jangka masa panjang, termasuk keadaan negara tidak lagi dapat mengeluarkan sumber ayam sendiri dan terpaksa mengimport.
“Sebab itu perlu diteliti secara mendalam, dan seharusnya kita hentikan harga maksimum dan bantu pengguna yang berpendapatan rendah cara lain, bukan lagi subsidi pukal,” katanya.
Dalam pada itu, Encik Nanta mengingatkan pemain industri agar tidak menggunakan kesempatan menerusi harga apungan dengan menaikkan harga ayam sewenang-wenangnya.
Apabila harga ayam diapungkan, katanya KPDNHEP akan turut memantau aspek harga dan jika perlu akan menggunakan kuasa di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 sekiranya terdapat peniaga mencatut dan mengambil untung suatu barangan atau perkhidmatan secara berlebihan.
“Saya harap pihak industri tidak akan mengambil kesempatan dan menaikkan harga terlalu tinggi. Kita boleh terima sekiranya ia dilaksanakan dengan berpatutan, kerana kita pun tahu bahawa kos operasi sudah meningkat,” katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.