Hanya tinggal 50 harimau belang di Perak
Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini (22 Nov) dimaklumkan dianggarkan terdapat antara 40 hingga 50 ekor harimau belang di negeri itu berdasarkan inventori yang dijalankan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
(Gambar: Bernama)
IPOH: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini (22 Nov) dimaklumkan dianggarkan terdapat antara 40 hingga 50 ekor harimau belang di negeri itu berdasarkan inventori yang dijalankan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri Dr Abdul Aziz Bari berkata inventori bagi spesies-spesies tertentu terutamanya mamalia besar yang terancam turut melibatkan gajah dan seladang.
Katanya berdasarkan rekod terkini dalam tinjauan yang dijalankan, jumlah gajah pula antara 100 hingga 130 ekor dan seladang sebanyak 50 hingga 60 ekor.
"Habitat-habitat utama tiga spesies yang terancam ini adalah di Hutan Royal Belum dan Hutan Simpan Temengor, Gerik serta Hutan Simpan Piah, Sungai Siput," katanya ketika menjawab soalan Loh Sze Yee (PH-Jalong) yang ingin tahu bilangan haiwan terpelihara yang masih wujud di Perak, kesan kempen ‘Selamatkan Harimau Malaya’ dan langkah-langkah diambil kerajaan bagi menjaga kepupusan haiwan liar yang terancam.
Dr Abdul Aziz berkata secara umumnya, bagi mamalia darat besar iaitu spesies yang melebihi 20 kilogram, terdapat 12 spesies mamalia masih ada di Perak iaitu gajah, seladang, tapir, harimau, rusa, beruang, kijang, kambing gurun, harimau kumbang, harimau dahan, babi hutan dan anjing hutan.
Menurut Dr Abdul Aziz, kempen Selamatkan Harimau Malaya yang dijalankan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia berjaya membawa kepada tangkapan melibatkan empat warga Thailand pada September dan Oktober lepas.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.