Hanya dalam 3 bulan, 1.17 juta keterangan rakyat Afghan berhubung jenayah perang dikumpul
Sejak Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mula mengumpul bukti-bukti untuk mengesahkan kemungkinan berlaku kes-kes jenayah perang yang melibatkan Afghanistan, ia sudah menerima 1.17 kenyataan daripada rakyat Afghan yang mengaku sebagai mangsa-mangsanya.
Gambar fail serangan bom di Afghan. (Gambar: AFP/SHAH MARAI)
KABUL: Sejak Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mula mengumpul bukti-bukti untuk mengesahkan kemungkinan berlaku kes-kes jenayah perang yang melibatkan Afghanistan, ia sudah menerima 1.17 kenyataan daripada rakyat Afghan yang mengaku sebagai mangsa-mangsanya.
Menurut kenyataan yang dikumpul, kekejaman dilakukan tidak hanya daripada kumpulan Taliban dan ISIS.
Malah, pihak seperti Pasukan Keselamatan Afghan, komander-komander tentera pemerintah, pemerintah campuran di bawah Amerika Syarikat, dan agensi-agensi pengintip tempatan mahupun dari luar negara turut melakukan kekejaman ke atas rakyat Afghanistan.
Demikian menurut Abdul Wadood Pedram daripada Pertubuhan Hak Asasi Manusia dan Pembanterasan Keganasan.
Dengan segala kenyataan yang diterima, para hakim ICC kini perlu memutuskan jika mereka ingin menjalankan siasatan terhadap jenayah-jenayah perang.
Namun, belum lagi dapat dipastikan bila hakim-hakim itu akan membuat keputusan.
Kenyataan-kenyataan dikumpul antara 20 November 2017 hingga 31 Januari 2018 oleh pertubuhan-pertubuhan yang berpangkalan di Eropah dan Afghanistan dan ditugaskan ke ICC.
Satu kenyataan sahaja melibatkan beberapa mangsa dan satu pertubuhan berkemungkinan mewakili beribu-ribu kenyataan mangsa. Ini bermakna, jumlah rakyat Afghan yang menuntut keadilan kemungkinan besar mencecah beberapa juta orang.
ICC, bagaimanpun, belum memberikan sebarang maklumat tentang mangsa-mangsa atau pihak-pihak yang memberikan keterangan.
ICC hanya dibenarkan menjalankan siasatan terhadap jenayah yang berlaku di Afghanistan selepas Mei 2003 di mana negara itu mengusulkan pindaan terhadap Statut Rom, iaitu perjanjian mewujudkan mahkamah berkenaan.
Pada November, pendakwa ICC Fatou Bensouda memohon diberi kuasa perundangan untuk memulakan siasatan. Menurutnya, ICC sudah mengesyaki berlakunya jenayah perang di Afghanistan sejak 2006.
Cik Bensouda berkata pada November bahawa "terdapat dasar yang kukuh untuk mempercayai" bahawa jenayah kejam dan jenayah perang dilakukan oleh kumpulan tegar Taliban serta rangkaian Haqqani.
Selain itu, terdapat bukti-bukti yang menunjukkan Pasukan Keselamatan Afghan, Polis Afghan dan agensi pengintip yang dikenali sebagai NDS, melakukan jenayah perang.
Bukti-bukti juga mendedahkan bahawa "anggota-anggota angkatan tentera Amerika Syarikat di Afghanistan, dan anggota-anggota Agensi Risikan Pusat Amerika Syarikat (CIA) "melakukan jenayah perang di pusat penahanan rahsia. Negara-negara lain yang menandatangani Statut Rom turut terlibat.
Pusat penahanan itu beroperasi antara 2003 hingga 2004.
Ini merupakan kali pertama Cik Bensouda mendakwa rakyat Amerika atas kesalahan jenayah perang.
Meskipun Amerika Syarikat bukan anggota ICC, rakyatnya boleh didakwa jika melakukan jenayah di negara-negara anggota.
Jabatan Negara Amerika Syarikat menentang pelibatan mahkamah dalam urusan Afghanistan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.