Hanya 4 kesalahan Syarie disebat di Kelantan; musahaqah (lesbian) hanya denda RM500
Setakat ini hanya empat kesalahan syarie boleh dikenakan hukuman sebat di negeri ini iaitu melakukan zina, mukadimah zina, minum arak dan qazaf iaitu menuduh seseorang melakukan zina tanpa membawa empat orang saksi.
Menteri Besar Kelantan Encik Ahmad Yakob. (Gambar: Facebook/ Dato Ahmad Yakob)
KOTA BHARU: Setakat ini hanya empat kesalahan syarie boleh dikenakan hukuman sebat di negeri ini iaitu melakukan zina, mukadimah zina, minum arak dan qazaf iaitu menuduh seseorang melakukan zina tanpa membawa empat orang saksi, kata Menteri Besar Kelantan Encik Ahmad Yakob.
Beliau berkata hukuman bagi kesalahan berkaitan musahaqah atau lesbian masih lagi denda sebanyak RM500 (S$166) atau penjara dan setakat ini masih belum ada pindaan.
Mengikut Kanun Jenayah Syariah Kelantan, seseorang perempuan yang dengan sengaja melakukan musahaqah dengan perempuan yang lain, boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM500 (S$166) atau penjara tidak melebihi empat bulan atau kedua-duanya.
"Sehingga kini pindaan yang dibuat adalah hanya bagi membawa hukuman sebat yang selama ini dijalankan di penjara ke kawasan luar (terbuka) mungkin di kawasan masjid atau stadium tertutup.
“Pindaan itu sudah diluluskan di peringkat kerajaan negeri cuma tarikh sebenar ia akan diwartakan belum diputuskan lagi," katanya kepada para wartawan selepas merasmikan Program 'Hududullah' peringkat negeri hari ini (5 Ogos).
Menurut Encik Ahmad, pada tahun1987 hingga 2011, terdapat 10 kes sebat dijalankan membabitkan 13 pesalah mukadimah zina serta meminum arak dan hukuman sebat yang dijalankan tidak melebihi enam sebatan.
"Apa yang penting hukuman yang dijalankan adalah bertujuan mendidik dan bukannya mahu mencederakan pesalah," katanya lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.