Skip to main content

Dunia

Hanya 29% pematuhan direkod dalam pembukaan semula Lintasan Rafah

Pejabat media Gaza pada Isnin (16 Feb) memaklumkan bahawa hanya 29 peratus pematuhan direkodkan dalam pembukaan semula lintasan sempadan Rafah antara Mesir dan Gaza menyusuli sekatan ketat Israel, lapor Anadolu Ajansi.
Anggaran Waktu Membaca:
Hanya 29% pematuhan direkod dalam pembukaan semula Lintasan Rafah
Hanya 29 peratus pematuhan direkodkan dalam pembukaan semula lintasan sempadan Rafah antara Mesir dan Gaza susuli sekatan ketat Israel. (Gambar: REUTERS)
Diterbitkan : 17 Feb 2026 11:39AM
  • Pejabat media Gaza melaporkan hanya 29 peratus pematuhan dalam pembukaan semula lintasan Rafah antara Mesir dan Gaza akibat sekatan ketat Israel.
  • Antara 2 Februari hingga 15 Februari, hanya 811 daripada 2,800 individu dapat menyeberangi lintasan, dengan ramai memerlukan rawatan perubatan di luar Gaza.
  • Gencatan senjata yang disokong Amerika Syarikat berkuat kuasa sejak 10 Oktober 2025, namun tentera Israel masih melakukan pelanggaran yang menyebabkan kematian dan kecederaan.
  • Kira-kira 80,000 rakyat Palestin telah mendaftar untuk kembali ke Gaza, menunjukkan penolakan terhadap pemindahan paksa walaupun kemusnahan meluas.
Dijana oleh AI
GAZA CITY: Pejabat media Gaza pada Isnin (16 Feb) memaklumkan bahawa hanya 29 peratus pematuhan direkodkan dalam pembukaan semula lintasan sempadan Rafah antara Mesir dan Gaza menyusuli sekatan ketat Israel, lapor Anadolu Ajansi.

Dalam satu kenyataan, pejabat media Gaza menyatakan, antara 2 Februari hingga 15 Februari, hanya 811 orang dapat menyeberangi lintasan Rafah dari kedua-dua arah daripada keseluruhan 2,800 individu yang dijangka melakukan perjalanan.

Pejabat itu memaklumkan, seramai 455 orang dibenarkan keluar dari Gaza, 356 tiba, manakala 26 yang lain diarahkan berpatah balik sepanjang tempoh berkenaan.

Menurut pejabat itu, Israel membuka semula bahagian lintasan di sebelah Palestin pada 2 Februari lalu secara sangat terhad.

Pejabat media itu menyatakan, pihaknya tidak dimaklumkan mengenai kriteria yang digunakan untuk menentukan jumlah keseluruhan orang yang dijadual menyeberangi lintasan berkenaan.

Media Mesir dan Israel sebelum ini melaporkan, kira-kira 50 rakyat Palestin dijangka menyeberangi lintasan itu setiap hari untuk masuk ke Gaza dan jumlah yang sama ke Mesir, termasuk para pesakit serta pengiring mereka, namun pejabat itu memaklumkan perkara berkenaan tidak dilaksanakan sepenuhnya.

Anggaran Palestin di Gaza menunjukkan kira-kira 22,000 individu yang cedera dan sakit perlu melakukan perjalanan ke luar wilayah itu untuk mendapatkan rawatan perubatan akibat sektor kesihatan yang lumpuh.

Angka separa rasmi turut menunjukkan kira-kira 80,000 rakyat Palestin sudah mendaftar untuk kembali ke Gaza, mencerminkan penolakan berterusan terhadap pemindahan paksa walaupun berlaku kemusnahan yang meluas.

Perjanjian gencatan senjata yang disokong Amerika Syarikat berkuat kuasa di Gaza sejak 10 Oktober 2025, menghentikan serangan Israel selama dua tahun yang mengorbankan lebih 72,000 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan lebih 171,000 yang lain sejak Oktober 2023.

Sejak perjanjian itu berkuat kuasa pada 10 Oktober 2025, tentera Israel sudah melakukan ratusan pelanggaran melalui bedilan artileri dan tembakan, mengorbankan 603 rakyat Palestin serta mencederakan 1,618 yang lain, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita