Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Hanya 2.7% bandar Asia Tenggara catat tahap udara 'sihat' pada 2022

Anggaran Waktu Membaca:
Hanya 2.7% bandar Asia Tenggara catat tahap udara 'sihat' pada 2022

(Gambar: CNA/Pichayada Promchertchoo)

Diterbitkan : 15 Mar 2023 09:40PM Dikemas Kini : 15 Mar 2023 09:42PM
BANGKOK: Hanya sebilangan kecil bandar-bandar serantau di Asia Tenggara mencatat tahap mutu udara yang memenuhi piawaian kesihatan antarabangsa pada 2022.

Demikian menurut laporan baru keluaran IQAir, sebuah syarikat yang mengesan pencemaran udara di seluruh dunia.

Menurut laporan terkininya yang diterbitkan pada Selasa (14 Mac), hanya 2.7 peratus bandar di rantau ini - iaitu lapan daripada 296 bandar yang dicatat datanya, memenuhi garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi PM2.5.

PM2.5 adalah zarah kecil yang boleh mengakibatkan masalah kesihatan teruk. Ia merupakan salah satu bentuk pencemaran udara paling berbahaya dengan ukuran garis pusat kurang daripada 2.5 mikrometer.

Zarah itu boleh meresap jauh ke dalam paru-paru, di mana ia sama ada kekal buat tempoh yang lama atau memasuki saluran darah tanpa ditapis.

Pendedahan secara berpanjangan kepada pencemaran udara berbahaya diketahui dapat melemahkan daya tahan terhadap penyakit pernafasan dan boleh meningkatkan risiko menghidapi barah paru-paru serta penyakit jantung.

Ia juga boleh disebabkan oleh pelbagai sumber, namun di Asia Tenggara, punca utama pencemaran udara adalah pelepasan industri, penjanaan tenaga, pelepasan kenderaan serta pembakaran secara terbuka, menurut IQAir dalam laporannya.

Indonesia mencatat tahap pencemaran serantau tertinggi, dengan enam bandarnya disenaraikan sebagai antara 15 bandar teratas yang mencatatkan kepekatan PM2.5 tertinggi.

Ia termasuk Pasarkemis di wilayah Banten, Jawa, dan bandar-bandar utama seperti Jakarta yang menduduki tempat keempat serta Surabaya di tangga ketujuh dalam senarai bandar serantau paling tercemar.

Ibu kota Vietnam, Hanoi, menduduki tempat kedua manakala Vientiane, Laos, merupakan bandar ke-14 paling tercemar pada tahun lalu.

Mutu udara secara keseluruhan meningkat di seluruh Asia Tenggara tahun lalu. Tujuh daripada sembilan negara di rantau itu mencatat penurunan bagi kepekatan PM2.5 sepanjang tahun.

Hanya Vietnam dan Laos menyaksikan tahap pencemaran udara bertambah buruk.

Tiga bandar Indonesia juga mencatatkan tahap "sihat" iaitu antara 0 hingga 5 mikrogram setiap meter padu, iaitu ukuran bagi kepekatan pencemar udara.

Bandar-bandar tersebut adalah Kupang di wilayah Nusa Tenggara Timur, Pengkal Pinang di Wilayah Kepulauan Bangka Belitung dan Mamaju di Sulawesi Barat.

Tahap mutu udara terbaik di rantau ini adalah di Nam Sach, sebuah daerah luar bandar di wilayah Delta Sungai Merah, Vietnam, menurut tinjauan oleh IQAir.



 
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan