Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Hanya 1.9% penduduk Johor dapatkan suntikan dos penggalak kedua

Anggaran Waktu Membaca:
Hanya 1.9% penduduk Johor dapatkan suntikan dos penggalak kedua

Gambar Hiasan (Gambar: Mohd Rasfan/AFP)

JOHOR BAHRU: Peratusan individu di Johor yang mendapatkan suntikan dos penggalak kedua dilihat masih rendah iaitu 1.9 peratus daripada keseluruhan penduduk rakyat di negeri itu, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Ling Tian Soon.

Justeru, katanya lagi, orang ramai disarankan supaya mendapatkan suntikan itu bagi melindungi diri daripada kesan penyakit COVID-19, khususnya mereka yang mempunyai penyakit kronik dan berisiko tinggi.

“Kalau boleh, kita hendak cuba sedaya-upaya meningkatkan jumlah rakyat yang terima dos penggalak kedua dan pergiat lagi program vaksinasi ini,” katanya semasa sidang media selepas majlis pelancaran projek Akuagro Rukun Tetangga Johor hari ini (4 Feb).

Katanya selanjutnya, suntikan dos penggalak boleh didapatkan di hospital kerajaan atau klinik kesihatan yang berdekatan dan pihaknya telah menggunakan pelbagai saluran bagi menggalak orang ramai mendapatkan suntikan dos penggalak kedua vaksin COVID-19.

Encik Ling bagaimanapun berkata setakat ini kerajaan negeri tidak meletakkan sebarang sasaran suntikan dos penggalak kedua, memandangkan situasi COVID-19 dilihat masih terkawal.

Menurut beliau, bagi dos penggalak vaksin COVID-19 yang pertama, sebanyak 56.7 peratus daripada keseluruhan penduduk negeri itu sudah menerima suntikan berkenaan, setakat ini.

Sementara itu, Encik Ling berkata kerajaan negeri menyasarkan mewujudkan 100 tapak bagi pelaksanaan Program Akuagro Rukun Tetangga Johor dalam tempoh tiga tahun.

Beliau berkata sebanyak 34 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di seluruh Johor telah mengusahakan program itu yang melibatkan tanaman sayur-sayuran dan ikan di dalam masyarakat mereka.

“Sebanyak 20 lagi projek tambahan program ini akan dilaksanakan tahun ini dan melalui projek ini sekurang-kurangnya kita dapat membantu menangani masalah sekuriti makanan dalam komuniti, khususnya rakyat Johor,” katanya yang turut menyampaikan peruntukan sebanyak RM230,000 untuk peluasan 20 projek Akuagro RT bagi tahun ini.
Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan