Skip to main content

Dunia

Hamzah Zainudin tidak akan kemuka rayuan selepas dipecat Bersatu

Anggaran Waktu Membaca:
Hamzah Zainudin tidak akan kemuka rayuan selepas dipecat Bersatu
Mantan Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin. (Gambar: Bernama)
New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 14 Feb 2026 09:50PM
KUALA LUMPUR: Mantan Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin memutuskan untuk tidak mengemukakan sebarang rayuan kepada Lembaga Disiplin berhubung pemecatannya sebagai ahli parti.

Encik Hamzah berkata beliau kini merupakan Ahli Parlimen Bebas yang menerima sokongan daripada majoriti Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), iaitu seramai 19 orang daripada 25 Ahli Parlimen Bersatu.
"Saya tidak akan merayu. 'I'm a free man now.' Saya tidak perlu lagi mendengar perkara yang terpaksa dilakukan tanpa kerelaan," kata Ahli Parlimen Larut itu, pada sidang media selepas 'Taklimat Hala Tuju dan Reset Politik bersama Hamzah Zainudin' pada Sabtu (14 Feb).

Mengenai kedudukannya sebagai Ketua Pembangkang, Encik Hamzah berkata perkara itu akan diumumkan kemudian, memandangkan sokongan Ahli Parlimen Pembangkang akan menentukan jawatan tersebut di Dewan Rakyat.

Ditanya mengenai hala tuju politiknya, beliau berkata akan mempunyai 'rumah baharu', sama ada dalam bentuk parti baharu atau kembali ke parti lama.

Menjawab persoalan mengenai kedudukannya dalam PN, Encik Hamzah menjelaskan itu adalah proses seterusnya, memandangkan beliau sendiri belum pasti sama ada akan terus menggunakan platform PN atau menubuhkan jajaran baharu.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Bersatu Mohamed Azmin Ali ketika ditemui media selepas Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, berkata Encik Hamzah mempunyai tempoh 14 hari untuk mengemukakan rayuan kepada Lembaga Disiplin menyusuli pemecatannya.

Encik Azmin berkata Bersatu juga belum memutuskan calon bagi menggantikan Encik Hamzah sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.

Sementara itu, di Kota Bharu, Kelantan, Ketua Whip PN Takiyuddin Hassan berkata pemecatan Encik Hamzah daripada Bersatu tidak menjejas kedudukannya sebagai Ketua Pembangkang.

Mengulas lanjut, beliau berkata Majlis Tertinggi PN dijangka mengadakan mesyuarat bagi membincangkan pelantikan pengerusi baharu menggantikan Encik Muhyiddin Yassin pada minggu depan.

"Kita akan meneliti agenda mesyuarat, termasuk pelantikan Pengerusi PN yang baharu. Tarikh mesyuarat dijangka sekitar 19 sehingga 22 Februari ini," katanya.

Encik Takiyuddin berkata PAS akan mengemukakan seorang calon Pengerusi PN pada mesyuarat berkenaan.
 
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita