Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Hampir 50 kawasan sering dilanda banjir dikenal pasti di Melaka

Anggaran Waktu Membaca:
Hampir 50 kawasan sering dilanda banjir dikenal pasti di Melaka

Keadaan banjir di Melaka. (Gambar: Facebook/ Amran Abdul Hamid)

MELAKA: Sekitar 48 kawasan yang sering dilanda banjir dikenal pasti di Alor Gajah, dengan 10 daripadanya berisiko tinggi dinaiki air dengan pantas sekiranya hujan lebat berlarutan, terutama ketika monsun timur laut.

Pegawai Daerah Alor Gajah Saiful Hazwa Kipli berkata pelbagai langkah jangka pendek telah diambil dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi mengekang bencana banjir di kawasan berkenaan.

"Kita telah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi banjir di Alor Gajah dan penyelarasan aset juga telah dilakukan. Alhamdulillah dengan penambahan aset seperti yang kita terima hari ini daripada Petronas sedikit sebanyak akan membantu melicinkan operasi menyelamat ketika banjir," katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan hari ini (19 Okt) selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Bot dan Kelengkapan Menghadapi Banjir di Melaka, yang turut dihadiri Pengurus Besar Petronas Wilayah Selatan M.Zaki Mahat dan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka Lt Kol (PA) Kamarulsyah Muslim.

Encik Saiful Hazwa berkata selain itu, pelan luar jangka seperti pembukaan pusat penempatan sementara (PPS) bagi menempatkan mangsa banjir juga sudah disediakan jika bencana itu berlaku dalam tempoh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU).

"Sekiranya banjir berlaku dan pada masa sama sekolah terlibat diperlukan untuk dijadikan pusat mengundi, kita akan buka PPS di sekolah lain dan kita telah mengenal pasti sekolah berkenaan.

"Contohnya di Durian Tunggal, ada tiga sekolah digunakan sebagai PPS dan juga untuk pusat mengundi, jadi kita telah sediakan sekolah lain seperti Sekolah Rendah Agama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Durian Tunggal dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sin Wah," katanya.

Sementara itu, Encik M.Zaki berkata Petronas menyerahkan dua bot dilengkapi enjin dan kelengkapan, tangki bahan api, 300 khemah perlindungan mangsa banjir, 150 jaket keselamatan dan 1,500 baju hujan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) melalui APM Melaka.

Beliau berkata bantuan peralatan berkenaan bertujuan membantu meringankan beban agensi kerajaan untuk membuat persediaan banjir, termasuk dalam operasi menyelamat, terutama di sekitar Alor Gajah yang sering dilanda banjir.
Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan