Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Hampir 50 cawangan Starbucks Malaysia ditutup sementara akibat boikot

Anggaran Waktu Membaca:
Hampir 50 cawangan Starbucks Malaysia ditutup sementara akibat boikot

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 17 Nov 2024 08:36AM Dikemas Kini : 17 Nov 2024 09:55AM
KUALA LUMPUR: Jumlah cawangan Starbucks yang ditutup sementara oleh pengendali rangkaian kedai kopi terkemuka itu, Berjaya Food Bhd meningkat kepada hampir 50 pada suku pertama tahun kewangan 2025, berbanding 25 pada suku keempat tahun kewangan 2024.

Penutupan sementara itu adalah disebabkan oleh pemulihan jualan yang lemah di tengah-tengah gerakan boikot berterusan, lapor Berita Harian Malaysia.

CIMB Securities dalam satu nota penyelidikan menyatakan, penutupan sementara itu menyebabkan pendapatan Berjaya Food pada suku pertama tahun kewangan 2025 merosot 55.4 peratus kepada RM124 juta (S$37 juta)

Ia menambah, perang promosi harga juga terus memberikan tekanan kepada margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA), yang susut kepada 8.1 peratus pada suku dikaji.

"Pihak pengurusan menjelaskan bahawa penutupan cawangan seterusnya (sama ada kekal atau sementara), akan tertakluk kepada penilaian semula secara berkala."

Jumlah cawangan Starbucks yang dikendalikan oleh Berjaya Food tidak berubah berbanding suku kewangan sebelumnya.

Manakala jumlah penutupan bersih Kenny Rogers Roasters adalah enam cawangan, menjadikan keseluruhan 408 kedai Starbucks dan 54 restoran Kenny Rogers Roasters setakat akhir suku pertama tahun kewangan 2025.

Menurut laporan Berita Harian Malaysia, Berjaya Food mencatatkan kerugian suku keempat berturut-turut apabila gerakan boikot anti Israel terus menjejaskan kumpulan tersebut.

Ia mencatatkan kerugian bersih RM33.68 juta (S$10 juta) bagi suku pertama berakhir 30 September 2024, berbanding keuntungan bersih RM19.03 juta (S$5.7 juta) setahun sebelumnya, yang berpunca oleh kesan berpanjangan daripada sentimen berterusan berhubung konflik Timur Tengah.

Pendapatan bagi suku itu merosot lebih separuh kepada RM124.19 (S$37 juta) juta daripada RM278.53 juta (S$84 juta), demikian menurut syarikat itu kepada Bursa Malaysia.

Tiada dividen diisytiharkan untuk suku dalam tinjauan.

Mengulas lanjut, CIMB Securities menyatakan Berjaya Food dijangka merekodkan pendapatan lebih kukuh pada suku kedua tahun kewangan 2025, disokong oleh musim perayaan akhir tahun.

Walaupun Berjaya Food mungkin terus melaporkan kerugian pada suku berkenaan, kerugian dijangka mengecil secara beransur-ansur hasil daripada jualan dan operasi lebih baik.

"Kami percaya sebarang perubahan kepada operasi Starbucks di Malaysia dan Brunei, susulan pelantikan Brian Niccol sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Starbucks Corp pada September lalu, akan berkuat kuasa paling awal pada separuh kedua tahun kewangan 2025, dengan sebarang hasil yang bermakna akan mengambil masa untuk direalisasikan," umum CIMB Securities.

Selain rangkaian kopi Starbucks di Malaysia dan Brunei, Berjaya Food juga mengendalikan rangkaian Kenny Rogers Roasters (KRR) di Malaysia, serta jenama kafe bakeri Paris Baguette di negara Malaysia dan Filipina, seperti dinukil laporan Berita Harian Malaysia.
 
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan