Hampir 4.9 juta akaun platform digital milik pengguna bawah 16 tahun dipadam di Indonesia
Hampir 4.9 juta akaun milik pengguna berusia bawah 16 tahun dipadamkan oleh platform digital di Indonesia di bawah Peraturan Pemerintah TUNAS (PP TUNAS) berhubung keselamatan kanak-kanak online.
Seorang kanak-kanak menggunakan telefon bimbit bijak. (Gambar hiasan: iStock/AzmanJaka)
- Kementerian Komunikasi dan Digital Indonesia melaporkan hampir 4.9 juta akaun pengguna bawah 16 tahun dipadam oleh platform digital seperti Meta, TikTok dan YouTube.
- Tindakan ini diambil susulan pelaksanaan Peraturan Pemerintah TUNAS yang mewajibkan perlindungan kanak-kanak online.
- PP TUNAS akan berkuat kuasa pada Mac 2026 dan menghendaki platform digital menghalang akses pengguna bawah umur serta memperkukuh keselamatan mereka.
- Kira-kira 200 platform digital telah mengemukakan penilaian kendiri risiko kepada kerajaan, yang kini sedang dinilai untuk menentukan tahap risiko setiap platform.
Direktur Jenderal Pengawasan Ruang Digital Kementerian Komunikasi dan Digital, Alexander Sabar berkata angka itu diperoleh menyusuli laporan pematuhan terbaharu yang dikemukakan Meta, pemilik Facebook, Instagram dan Threads, yang memadamkan sejumlah 185,000 akaun.
Beliau berkata kira-kira 4.1 juta akaun pengguna bawah umur dipadamkan oleh TikTok, manakala YouTube memadamkan 600,000 akaun, menurut Agensi Berita Antara.
PP TUNAS yang berkuat kuasa pada Mac 2026 mewajibkan platform digital yang beroperasi di Indonesia melaksanakan langkah perlindungan berdasarkan umur bagi para pengguna bawah 16 tahun, termasuk langkah menghalang akses oleh pengguna bawah umur serta memperkukuh perlindungan kanak-kanak online.
Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Digital Meutya Hafid berkata kira-kira 200 platform digital sudah mengemukakan penilaian kendiri mengenai profil risiko masing-masing kepada pemerintah sebagai sebahagian daripada pelaksanaan PP TUNAS, termasuk platform e-dagang, permainan online dan hiburan.
Beliau berkata pemerintah kini sedang menilai laporan penilaian kendiri itu bagi menentukan profil risiko setiap platform.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.