Skip to main content

Dunia

Hampir 3,600 warga Indonesia diekstradisi dari Kemboja susuli tindakan keras terhadap penipuan online

Anggaran Waktu Membaca:
Hampir 3,600 warga Indonesia diekstradisi dari Kemboja susuli tindakan keras terhadap penipuan online
Kedutaan Indonesia di Phnom Penh sedang menyelaras dengan beberapa agensi di Indonesia bagi memudahkan pemeriksaan warganya yang diekstradisi, sebaik sahaja mereka tiba di Jakarta. (Gambar: Laman web/Kedutaan Indonesia di Phnom Penh)
Diterbitkan : 16 Feb 2026 05:50PM Dikemas Kini : 16 Feb 2026 05:51PM
JAKARTA: Indonesia mula membawa pulang hampir 3,600 warga negaranya yang diekstradisi dari Kemboja menyusuli tindakan keras terhadap operasi perjudian dan penipuan online di sana, menurut kedutaannya di Phnom Penh.

Proses ekstradisi itu akan dijalankan secara berperingkat dan dijangka berterusan sehingga 4 Mac, menurut kedutaan itu pada Sabtu (15 Feb).

Kumpulan pertama seramai 743 warga Indonesia dijadualkan tiba pada Ahad, tambahnya.

Sementara itu, kedutaan tersebut menyatakan bahawa sekitar 225 warga Indonesia juga sudah kembali ke Indonesia secara persendirian sejak 30 Januari.

Warga Indonesia boleh pulang ke tanah air selepas mendaftar dengan kedutaan mereka dan menyelesaikan penilaian awal.

Setakat sehingga Ahad, penilaian menunjukkan bahawa 3,595 warga Indonesia itu bukan mangsa pemerdagangan manusia.

Penilaian tersebut dijalankan menggunakan alat yang dibangunkan oleh kementerian luar Indonesia dengan kerjasama pelbagai pertubuhan antarabangsa termasuk Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM), menurut kedutaan itu dalam kenyataannya pada Sabtu, seperti yang dilaporkan oleh agensi berita Antara.

Penilaian tersebut juga dijalankan mengikut peraturan dan undang-undang negara berkaitan pemerdagangan manusia, tambah kenyataan itu.

Sebilangan besar warga Indonesia yang melaporkan diri mereka sendiri tidak mempunyai pasport yang sah dan sudah didenda oleh pihak berkuasa imigresen Kemboja, menurut kedutaan itu.

Duta Indonesia ke Kemboja Santo Darmosaumarto berkata semua yang diekstradisi akan menjalani pemeriksaan lanjut setelah tiba di Jakarta, lapor Jakarta Globe.

"Kedutaan akan memastikan bahawa sebaik sahaja mereka tiba di Jakarta, mereka akan menjalani pemeriksaan susulan oleh pihak berkuasa yang berkaitan," kata Encik Santo.

Beliau menambah bahawa rakyat Indonesia yang didapati terlibat dalam aktiviti penipuan online akan menghadapi tindakan undang-undang, dan kedutaan di Phnom Penh sedang meningkatkan penyelarasan dengan agensi penguatkuasaan undang-undang Indonesia bagi memastikan mereka yang mempunyai isu undang-undang disiasat dengan segera setelah tiba di Indonesia.

Encik Santo berkata kedutaan itu terus meningkatkan pengumpulan data, menjalankan pengesahan undang-undang dan penilaian kes serta mengeluarkan dokumen perjalanan untuk memudahkan proses ekstradisi itu.

Pada 5 Februari, ketua pengarah perlindungan di Agensi Perlindungan Pekerja Hijrahan Indonesia Rinardi berkata pemerintah merancang untuk menyewa pesawat bagi mempercepatkan proses ekstradisi tersebut berbanding bergantung pada penerbangan komersial.

"Pesawat sewa khas ini akan digunakan khusus untuk proses ekstradisi," kata Encik Rinardi.

Langkah tersebut berikutan tindakan keras berskala besar oleh pihak berkuasa Kemboja yang menyasarkan sindiket jenayah siber serantau.

Antara 16 dan 20 Januari, lebih 1,400 warga Indonesia meninggalkan rangkaian penipuan siber di Kemboja dan memohon bantuan daripada kedutaan Indonesia di Phnom Penh.

Sementara itu, 73 warga Korea Selatan diekstradisi dari Kemboja selepas dituduh terlibat dalam operasi penipuan online dan dakwaan menipu lebih 800 orang senegara mereka sebanyak kira-kira AS$33 juta (S$41.6 juta), menurut pegawai.

Pihak berkuasa Kemboja mengekstradisi sekitar 3,375 warga asing dalam tindakan keras selama seminggu terhadap operasi penipuan online sejak 1 Februari, menurut Jabatan Umum Imigresen di Phnom Penh seperti yang dilaporkan oleh Camboja News.

Semasa operasi tersebut, polis menahan 3,575 individu daripada sembilan kerakyatan, termasuk warga China, Korea Selatan, Jepun, Amerika Syarikat, Filipina, Pakistan, India dan Rusia.

Dalam tempoh lapan bulan lalu, 14,041 warga asing sudahpun diekstradisi, menurut kementerian keadilan di Phnom Penh.

Suruhanjaya Memerangi Penipuan Online di Phnom Penh juga melaporkan bahawa 130,000 orang meninggalkan Kemboja antara Januari dengan awal Februari 2026.
 
Sumber : Agensi berita/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita