Skip to main content

Dunia

Hampir 200 warga Asia Tenggara, termasuk 2 rakyat SG, berkhidmat dalam tentera Israel: Data IDF

Hampir 200 warga Asia Tenggara merupakan dalam kalangan lebih 50,000 anggota berkhidmat dalam tentera Israel yang memegang lebih daripada satu pasport, menurut data rasmi yang diperoleh oleh sebuah pertubuhan bukan pemerintah (NGO) Israel.
Anggaran Waktu Membaca:
Hampir 200 warga Asia Tenggara, termasuk 2 rakyat SG, berkhidmat dalam tentera Israel: Data IDF
Kenderaan tentera Israel melalui sebuah kawasan yang musnah di Gaza, dilihat dari bahagian Israel di sempadan Israel-Gaza di selatan Israel, pada 21 Januari 2026. (Gambar: REUTERS/Amir Cohen)
BANGKOK: Hampir 200 warga Asia Tenggara merupakan dalam kalangan lebih 50,000 anggota berkhidmat dalam tentera Israel yang memegang lebih daripada satu pasport, menurut data rasmi yang diperoleh oleh sebuah pertubuhan bukan pemerintah (NGO) Israel.

Mereka adalah 111 warga Filipina, 71 warga Thailand, empat warga Vietnam, dua rakyat Singapura dan seorang warga Indonesia yang berkhidmat dalam tentera Israel setakat Mac 2025, menurut data yang diperolehi oleh NGO Hatzlacha, sebuah khidmat perubatan kecemasan sukarelawan, melalui Undang-Undang Kebebasan Maklumat Israel.

Warga Amerika Syarikat membentuk kumpulan terbesar anggota tentera Israel yang memiliki dua kewarganegaraan atau lebih.

Sekurang-kurangnya 12,135 daripada mereka memegang kewarganegaraan Israel -Amerika Syarikat, manakala lagi 1,207 memiliki sekurang-kurangnya satu lagi pasport.

Kumpulan terbesar seterusnya adalah dari Perancis (6,464 memegang dua kewarganegaraan atau lebih), Rusia (5,169), Jerman (4,193) dan Ukraine (3,266).

Antara warga Asia yang berkhidmat dalam Angkatan Pertahanan Israel (IDF) menurut data yang diterbitkan pada minggu lalu termasuk 201 individu yang memegang pasport India, 76 warga Jepun, sembilan dari Hong Kong dan Korea Selatan, tujuh dari China, tiga dari Taiwan serta dua dari Nepal dan Sri Lanka.

Para pakar berkata data IDF itu menimbulkan persoalan mengenai liabiliti undang-undang warga asing tersebut dalam konflik Gaza, yang sudah pun membunuh lebih 72,000 penduduk Palestin sejak Oktober 2023, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.

Israel melancarkan serangan tentera ke atas Gaza selepas Hamas melancarkan serangan di selatan Israel pada 7 Oktober 2023, mengorbankan sekitar 1,200 orang dan menculik 251 orang sebagai tebusan, menurut perangkaan Israel.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) sedang menyiasat dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan yang dilakukan di Gaza.

Secara berasingan, dakwaan genosid atau pembunuhan beramai-ramai terhadap penduduk Palestin di Gaza sedang diteliti di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dalam kes yang dikemukakan oleh Afrika Selatan.

Setakat ini tiada sabitan dilaporkan terhadap para individu yang memiliki dua kewarganegaraan atas jenayah perang di Gaza.

Namun aduan undang-undang difailkan di beberapa negara termasuk Perancis, Itali, Afrika Selatan dan Belgium, dan sebahagian pihak berkuasa sudah membuka siasatan awal.

Sebagai maklum balas kepada pertanyaan Mediacorp, Kementerian Ehwal Dalam Negeri Singapura (MHA) menyatakan ia sedia maklum tentang laporan media asing berhubung dua warga Singapura yang berjuang bagi IDF dalam konflik Gaza.

“MHA tidak mempunyai maklumat sahih setakat ini bahawa mana-mana warga Singapura sedang/pernah berjuang sebagai sebahagian daripada IDF,” tambah jurucakap itu.

Singapura tidak membenarkan kewarganegaraan berganda, namun kanak-kanak boleh memegang dua pasport sehingga berusia 21 tahun.

Pemerintah boleh menangguhkan permohonan untuk melepaskan kewarganegaraan jika seseorang lelaki itu belum menunaikan kewajipan Perkhidmatan Negara.

Sebagai respons kepada data yang diperoleh Hatzlacha, Kementerian Luar Negeri Indonesia pada Selasa (17 Feb) menyatakan ia tidak dapat mengesahkan atau menafikan laporan berhubung individu berkenaan dengan segera tetapi bersedia untuk mengadakan penyelarasan lanjut dengan kementerian undang-undang dan mengambil tindakan susulan mengikut undang-undang berkaitan, lapor Jakarta Globe.

Indonesia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel dan menyokong kemerdekaan Palestin.

Ia juga menyertai Lembaga Keamanan yang diterajui Amerika Syarikat.

Munira Mustaffa, perunding utama firma perunding keselamatan yang berpangkalan di Malaysia, Chasseur Group, berkata siasatan menyeluruh diperlukan untuk menentukan keadaan berkaitan dan sama ada individu tersebut merupakan anggota tempur terlatih. “Ia agak mengejutkan saya,” kata beliau.

Indonesia tidak mengiktiraf kewarganegaraan berganda bagi orang dewasa dan mereka yang secara sukarela memperoleh kewarganegaraan lain boleh kehilangan kewarganegaraan Indonesia.

Kanak-kanak hasil perkahwinan campur boleh memegang lebih daripada satu kewarganegaraan tetapi perlu memilih salah satu daripadanya sebelum berusia 21 tahun.

Sebarang tindakan daripada pihak Jakarta bergantung pada pengesahan status kewarganegaraan individu sebelum mempertimbangkan langkah undang-undang atau diplomatik, kata Muhammad Zulfikar Rakhmat, pengarah jabatan Indonesia-MENA di Centre for Economic and Law Studies (CELIOS).

“Warga Indonesia tidak dibenarkan untuk berkhidmat dalam tentera asing kecuali dengan kebenaran pemerintah,” kata beliau sambil menambah pemerintah perlu memberi maklum balas berbeza jika individu itu diarahkan untuk menyertai tentera Israel.

Undang-undang khidmat tentera wajib Israel mengecualikan warga dengan lebih daripada satu kewarganegaraan yang menetap di luar negara, lapor Al Jazeera.

Indonesia sebelum ini menggunakan undang-undang kewarganegaraannya untuk menarik balik atau mengisytiharkan kehilangan kewarganegaraan rakyatnya yang menyertai kumpulan bersenjata ISIS, yang ditetapkan Indonesia sebagai pertubuhan pengganas.

Tahun ini, pihak berkuasa Indonesia turut bertindak menarik balik kewarganegaraan seorang bekas pegawai polis yang meninggalkan tugas dan didakwa menyertai tentera Russia di Ukraine, serta bekas anggota Marin Indonesia yang dilaporkan menyertai tentera Russia sebagai tentera upahan pada 2025.

Di Filipina, kewarganegaraan berganda dibenarkan dan undang-undang negara itu tidak secara automatik menjadikan perkhidmatan dalam angkatan bersenjata asing sebagai jenayah.

Thailand juga membenarkan kewarganegaraan berganda dan undang-undang Thailand tidak menganggap perkhidmatan dalam angkatan bersenjata asing dalam keadaan umum sebagai jenayah.

Kementerian Luar Thailand belum memberi maklum balas terhadap penerbitan data terkini itu.

Namun pada akhir 2023, ia pernah mengulas tentang kebimbangan berhubung pekerja hijrahan di Israel yang terlibat sebagai tentera aktif perang.

Ia mengesahkan sebahagian daripada individu berdarah campuran Thai-Israel berkhidmat dalam pasukan simpanan tentera Israel. Kumpulan tersebut berbeza daripada para pekerja hijrahan Thai yang bekerja di rantau tersebut.

Selain tenaga kerja pertanian Thai, terdapat sekitar 400 hingga 500 wanita Thailand yang berkahwin dengan warga Israel, dengan anak-anak mereka sering memegang lebih daripada satu kewarganegaraan.

Undang-undang Israel mewajibkan semua warganya, lelaki dan wanita, menjalani khidmat tentera wajib pada usia 18 tahun.

Lelaki biasanya berkhidmat sekitar 32 bulan manakala wanita sekitar 24 bulan.

Selepas tamat perkhidmatan aktif, mereka memasuki sistem simpanan dan masih boleh dipanggil untuk berkhidmat.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita