Hampir 200 kaum Rohingya ditangkap cuba larikan diri dari kem pelarian Bangladesh
Hampir 200 Muslim Rohingya berlayar lebih 1,500 kilometer untuk melarikan diri dari kem pelarian Bangladesh hanya untuk ditahan oleh tentera laut Myanmar, menurut tentera negara itu pada Selasa (17 Dis).
(Gambar fail: Christophe Archambault/ AFP)
YANGON: Hampir 200 Muslim Rohingya berlayar lebih 1,500 kilometer untuk melarikan diri dari kem pelarian Bangladesh hanya untuk ditahan oleh tentera laut Myanmar, menurut tentera negara itu pada Selasa (17 Dis).
Rampasan bot tersebut berlaku beberapa hari selepas pemimpin Myanmar dan pemenang anugerah Nobel, Aung San Suu Kyi, hadir di mahkamah tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk menafikan tuduhan kempen pembunuhan beramai-ramai ke atas kumpulan minoriti etnik itu.
Dengan musim monsun berakhir dan laut beransur tenang, jumlah Muslim Rohingya yang mendedahkan diri mereka kepada risiko sedang mereka cuba melarikan diri ke Malaysia atau Indonesia kembali meningkat.
Pihak berkuasa Bangladesh menyatakan mereka menahan satu atau dua bot yang meninggalkan pantai negara itu dalam seminggu. Lebih ramai dikatakan berjaya mengelak daripada rondaan penguat kuasa.
Segelintir berjaya sampai sejauh Kawthaung, kawasan paling selatan Myanmar, di mana pada Ahad (15 Dis), tentera laut negara itu menahan sekumpulan 173 kaum Rohingya termasuk 69 wanita dan 22 kanak-kanak. Demikian menurut seorang jurucakap tentera.
“Kami akan menyerahkan mereka kepada pihak berkuasa imigresen dan polis untuk mengambil tindakan,” kata Zaw Min Tun sambil menambah bahawa mereka berasal dari kem di Bangladesh dan sedang menuju ke Malaysia.
Tujuh pengendali bot turut diberkas dalam rampasan bot sejauh 217 kilometer di pesisir pantai Myanmar, tambah beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.