Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Hampir 170 lintasan haram Malaysia-Thailand dikenal pasti; pihak berkuasa bakal ambil tindakan

Anggaran Waktu Membaca:
Hampir 170 lintasan haram Malaysia-Thailand dikenal pasti; pihak berkuasa bakal ambil tindakan

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 01 Jan 2025 03:05PM Dikemas Kini : 01 Jan 2025 03:06PM
PASIR MAS: Sebanyak 169 lintasan haram sempadan Malaysia-Thailand, yang dikenal pasti perlu diberikan perhatian, kata Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar.

Beliau berkata ekoran itu, kerajaan Malaysia menyasarkan untuk mengurangkan dan menutup terus lintasan-lintasan atau laluan masuk tidak sah tersebut.

“Langkah kawalan sempadan perlu dipertingkatkan dan penting untuk mengurangkan jenayah rentas sempadan dan aktiviti penyeludupan.

“Saya meminta agar supaya pemasangan CCTV (kamera litar tertutup) di pintu-pintu masuk sempadan negara dipercepat dan menggunakan teknologi buatan kecerdasan buatan (AI), sebagaimana saranan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai pemudah cara untuk sentiasa berevolusi, selari dengan kepelbagaian bentuk ancaman kepada keselamatan negara,” kata beliau.

Encik Shamsul Azri berkata demikian kepada pemberita sempena peluncuran program rintis Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Malaysia di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, di Pasir Emas, pada Rabu (1 Dis).

Beliau berkata penggunaan teknologi AI dalam strategi kawalan sempadan negara adalah sangat kritikal dan diperlukan.

“Penggunaan teknologi AI dalam kawalan pintu masuk dan sempadan melalui mekanisme yang tepat secara optimum akan membantu pegawai-pegawai kita memantau, menilai, merancang dan menguatkuasakan tindak balas terhadap sebarang bentuk ancaman dan cabaran yang dihadapi di pintu masuk dan sempadan negara.

“Sebagai contoh, penyelarasan dan analisis data daripada CCTV dan mesin pengimbas barangan di pintu masuk yang dilengkapi teknologi AI, akan mempertingkatkan keupayaan para pegawai dalam membangunkan analisis risiko di pintu masuk," katanya.

Encik Shamsul Azri berkata pendekatan proaktif itu boleh membantu agensi sempadan dalam memintas potensi ancaman sebelum ia berlaku, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan secara keseluruhan di pintu masuk dan sempadan negara.

Beliau berkata data yang dipacu dengan algoritma lanjutan AI, seperti pengecaman wajah dan pemprosesan dokumen bijak membantu memperkemas proses pemeriksaan orang dan barangan oleh pegawai.

“Senario ini, secara tidak langsung akan memastikan proses pelepasan barangan yang berisiko rendah dapat dipercepatkan.

“Perkara ini sangat penting bagi meningkatkan daya saing pelabuhan-pelabuhan dan terminal-terminal kargo negara,” katanya.

Encik Shamsul Azri berkata di sebalik cabaran yang dihadapi, adalah penting untuk menekankan pelbagai manfaat yang akan dibawa agensi sempadan, terutamanya kepada penduduk yang tinggal di kawasan sempadan khususnya di Rantau Panjang.
 
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan