Skip to main content

Dunia

Hampir 15,000 hektar musnah akibat kebakaran hutan Korea Selatan

Anggaran Waktu Membaca:
Hampir 15,000 hektar musnah akibat kebakaran hutan Korea Selatan

Seorang anggota bomba bersiap sedia untuk menyemburkan air sedang kebakaran hutan merebak di Uiseong, Korea Selatan, pada 24 Mac 2025. (Gambar: AFP/Yasuyoshi Chiba)

SEOUL: Pemangku Presiden Korea Selatan, Han Duck-soo menyeru agar semua usaha dilakukan untuk membendung kebakaran hutan di bahagian tenggara negara itu.

Semasa melawat mangsa-mangsa di daerah Uiseong pada Isnin (24 Mac), Encik Han telah mengisytiharkan tiga lagi daerah di wilayah-wilayah Gyeongsang Selatan dan Utara serta Ulsan sebagai zon bencana khas.

Kebakaran itu yang bermula Jumaat (21 Mac) telah meragut nyawa empat orang manakala enam yang lain, cedera.

Kawasan seluas 14,694 hektar musnah, menyebabkan lebih 3,300 penduduk hilang tempat tinggal, lapor Yonhap memetik kenyataan pemerintah pada Selasa (25 Mac). 

Pemangku Menteri Dalam Negeri, Ko Ki-dong dalam mesyuarat Pusat Tindakan Bencana dan Keselamatan di Seoul berkata usaha memadam kebakaran terjejas akibat angin kencang, cuaca kering dan keadaan yang tidak menentu. 

Pemerintah akan mengerahkan semua sumber yang ada, termasuk 110 helikopter dan 6,700 anggota penyelamat pada Selasa bagi mengawal kebakaran di Sancheong, Hadong dan Gimhae (Wilayah Gyeongsang Selatan), Uiseong (Wilayah Gyeongsang Utara) serta daerah Ulju di Ulsan, katanya. 

Sehingga 7.00 pagi Selasa, pasukan penyelamat berjaya mengawal sekitar 88 peratus kebakaran di lima wilayah terlibat.

Langkah tambahan juga diambil bagi menghalang api daripada merebak ke kawasan perumahan. 

Pihak berkuasa tempatan turut melaksanakan langkah keselamatan seperti menutup jalan dan memindahkan penduduk lebih awal bagi mengurangkan risiko kerosakan serta korban nyawa. 

Sebanyak 234 kebakaran hutan berlaku di seluruh negara tahun ini, dengan kebanyakannya berpunca daripada kecuaian pengunjung di kawasan pergunungan serta kegiatan pembakaran sisa pertanian dan sampah. 
Sumber : Agensi berita/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita