Hampir 1,500 migran Myanmar dihantar pulang dari Malaysia
Hampir 1,500 migran Myanmar dari Malaysia tiba di negara asal mereka yang dilanda perang pada Ahad (4 Okt), menurut seorang pegawai Tentera Laut Myanmar, selepas dihantar pulang menerusi satu skim repatriasi yang kurang jelas.
Tiga kapal Tentera Laut Myanmar berlepas dari Malaysia pada Selasa dengan membawa seramai 1,476 migran, menurut pemerintah Myanmar. (Gambar: AFP/Arif Kartono)
- A total of 1,476 Myanmar migrants arrived at the Myanmar Navy base in Thanlyin on Sunday after being sent back from Malaysia on three ships.
- They were the first group among 5,000 people whom Anwar Ibrahim said Myanmar had already agreed to take back under a repatriation scheme.
- Families, the UN and Fortify Rights are concerned about the migrants' safety, whether the decision to return was voluntary, the possibility of armed conscription, and the fate of the Rohingya.
- Malaysia wants to proceed with sending back a second group, but the UN stressed that war-torn Myanmar is not yet safe for forced returns.
- Seramai 1,476 migran Myanmar tiba di pangkalan Tentera Laut Myanmar di Thanlyin pada Ahad selepas dihantar pulang dari Malaysia dengan tiga kapal.
- Mereka ialah kumpulan pertama daripada 5,000 orang yang menurut Anwar Ibrahim sudah dipersetujui Myanmar untuk diterima pulang melalui skim repatriasi.
- Keluarga, PBB dan Fortify Rights bimbang tentang keselamatan migran, kesukarelaan keputusan pulang, kemungkinan kerahan bersenjata serta nasib Rohingya.
- Malaysia mahu meneruskan penghantaran pulang kumpulan kedua, tetapi PBB menegaskan Myanmar yang dilanda perang belum selamat untuk kepulangan paksa.
Tiga kapal yang membawa migran Myanmar berlabuh di pangkalan Tentera Laut Myanmar di Thanlyin sejurus sebelum pukul 7.30 pagi (0100 GMT), menurut pegawai tentera laut yang tidak dinamakan AFP kerana beliau tidak diberi kebenaran untuk bercakap kepada media.
Wartawan AFP melihat ratusan keluarga berkumpul di luar pangkalan tersebut sejak awal pagi untuk menjemput saudara-mara mereka. Kereta, teksi dan bas turut berbaris untuk membawa pulang para migran tersebut.
Kyaw Myint, 55 tahun, memberitahu AFP bahawa beliau berada di situ untuk menjemput tiga cucunya yang ditahan di Malaysia selama satu setengah tahun dan tidak ditemuinya sejak enam tahun lalu.
"Sejak mereka dipenjarakan, kami terputus hubungan dengan mereka," kata beliau.
Kini, Encik Kyaw Myint bimbang mereka mungkin dikerah untuk menyertai pasukan bersenjata, "bukan sahaja oleh tentera tetapi juga kumpulan bersenjata etnik", tambahnya.
Terdapat juga kebimbangan bahawa anggota masyarakat Rohingya yang ditindas mungkin merupakan antara mereka yang dihantar pulang. Kebimbangan tersebut timbul selepas Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim mengumumkan langkah repatriasi itu di tengah-tengah sentimen anti-Rohingya, namun perkara tersebut belum disahkan.
Tiga kapal Tentera Laut Myanmar berlepas dari Malaysia pada Selasa dengan membawa 1,476 migran, menurut pemerintah Myanmar. Mereka merupakan kumpulan pertama daripada 5,000 orang yang menurut Encik Anwar sudah dipersetujui Myanmar untuk diterima pulang.
Namun, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa keadaan di Myanmar, yang dilanda perang saudara sejak rampasan kuasa tentera pada 2021, menyebabkan kepulangan yang selamat seperti yang ditetapkan di bawah undang-undang antarabangsa tidak dapat dijamin.
"Kami tidak tahu bagaimana kehidupannya apabila kembali ke Myanmar," kata seorang saudara perempuan kepada seorang migran lelaki berusia 25 tahun, yang memberitahu keluarganya bahawa beliau menjangka akan dihantar pulang menaiki kapal tersebut.
"Kebimbangan utama kami adalah keselamatannya apabila tiba di sana," katanya kepada AFP dari Malaysia. Beliau meminta identitinya dirahsiakan atas sebab keselamatan selepas terputus hubungan dengan saudara lelakinya sebelum kapal-kapal tersebut berlepas.
Kumpulan yang tiba itu dijangka merangkumi 27 kanak-kanak dan 79 wanita, manakala baki 1,370 orang merupakan lelaki dewasa, menurut media Malaysia.
Kumpulan Rohingya membentuk sebahagian besar pelarian dan pencari suaka dari Myanmar di Malaysia, namun Kuala Lumpur belum menjawab pertanyaan AFP berhubung jumlah anggota masyarakat tersebut yang berada di dalam kapal berkenaan.
'SECARA BEBAS DAN DENGAN MAKLUMAT'
Encik Anwar mengumumkan langkah repatriasi tersebut pada Julai, hanya beberapa hari selepas lebih 100 pencari suaka Rohingya ditahan di Kuala Lumpur di tengah-tengah peningkatan sentimen anti-pelarian, khususnya terhadap masyarakat Rohingya di Malaysia.
Berita mengenai penghantaran pulang tersebut mencetuskan kebimbangan meluas kerana anggota masyarakat Rohingya melarikan diri beramai-ramai dari Myanmar menyusuli tindakan keras tentera yang bermula pada 2017, yang menurut pakar hak asasi manusia merupakan satu genosid.
Malaysia menegaskan bahawa semua yang dihantar pulang bersetuju untuk kembali secara sukarela dari pusat tahanan, di mana menurut Myanmar, mereka sudah selesai menjalani hukuman atas kesalahan imigresen.
Namun, pertubuhan pemantau seperti Fortify Rights melaporkan keadaan yang buruk di pusat-pusat tahanan tersebut.
Agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) menyatakan minggu lalu bahawa kakitangannya tidak dibenarkan bertemu dengan mereka yang dihantar pulang bagi memastikan keputusan para migran tersebut dibuat "secara benar-benar bebas dan dengan maklumat yang mencukupi".
Televisyen pemerintah Myanmar menyiarkan rakaman perjalanan pulang para migran, termasuk mereka yang mengikuti kelas senamrobik di atas dek kapal dan memakai kemeja-T dengan tulisan: "Selamat pulang ke tanah air".
'BUKAN MASANYA UNTUK PULANG'
Malaysia sudah meneruskan rancangan untuk menghantar pulang kumpulan kedua yang terdiri daripada lebih 3,500 migran.
Para migran sudah "membebankan negara dari segi kewangan, mencetuskan krisis sosial yang serius dan menimbulkan ancaman keselamatan yang nyata kepada rakyat Malaysia", menurut Kementerian Dalam Negeri.
Pemimpin Myanmar Min Aung Hlaing, yang mengetuai rampasan kuasa tentera sebelum dilantik sebagai presiden awam pada April lalu, dijangka melawat Malaysia tidak lama lagi untuk membincangkan skim tersebut.
Myanmar bulan lalu berjanji bahawa proses penghantaran pulang akan dilakukan secara "selamat dan bermaruah".
Namun, Yap Lay Sheng, pakar kanan hak asasi manusia di Fortify Rights, memberitahu AFP: "Ia tidak dapat dipastikan bagaimana rejim tersebut akan melayan mereka yang dihantar pulang."
Myanmar juga terus dilanda keganasan, dengan 50 orang terbunuh lewat bulan lalu dalam serangan udara tentera ke atas sebuah pasar di wilayah Rakhine di barat negara tersebut.
Perang saudara setakat ini sudah meragut lebih 100,000 nyawa, menurut badan pemantau ACLED.
"Ini bukan masanya untuk menghantar pulang sesiapa secara paksa ke sebuah negara yang dilanda pencabulan dan pelanggaran hak asasi manusia yang amat serius," kata Ketua Hak Asasi Manusia PBB Volker Turk pada Selasa.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.