Hampir 12,000 kasut berjenama tiruan dirampas dari stor pusat beli-belah Jalan TAR
Sebanyak 11,883 pasang kasut kasual, kasut bola dan selipar tiruan dari jenama antarabangsa terkemuka yang dijual melalui platform media sosial dirampas di sebuah stor di sebuah kompleks membeli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.
PUTRAJAYA: Sebanyak 11,883 pasang kasut kasual, kasut bola dan selipar tiruan dari jenama antarabangsa terkemuka yang dijual melalui platform media sosial dirampas di sebuah stor di sebuah kompleks membeli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.
Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Iskandar Halim Sulaiman berkata rampasan kasut dan selipar berjenama tiruan Gucci, Nike, Adidas, Puma, Converse dan Tommy Hilfiger itu bernilai RM324,110 (S$107,500).
Menurut Encik Iskandar, kos untuk menghasilkan kasut berkenaan adalah kira-kira RM25 (S$8) sahaja tetapi ia diiklankan di media sosial pada harga RM100 ($33) iaitu jauh lebih murah daripada harga produk asli.
“Apabila ditanya pengguna di media sosial kenapa kasut berkenaan dijual pada harga murah, alasan yang diberikan ialah perniagaan tersebut adalah secara dalam talian dan tidak menggunakan premis kedai atau pejabat,” tambah Encik Iskandar.
Beliau berkata pemilik cap dagang yang menyertai serbuan itu pada Rabu (20 Feb) mengesahkan ia produk tiruan.
RAMPASAN TURUT DIJALANKAN DI JOHOR
Encik Iskandar Halim berkata tidak ada sebarang penangkapan dibuat dalam serbuan tersebut dan KPDNHEP sedang mengesan pemilik stor berkenaan.
Tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 8(2)(c) Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu mempunyai dalam milikan, jagaan atau kawalannya untuk pembekalan apa-apa barang-barang yang baginya suatu perihal dagangan palsu digunakan, katanya.
"Mereka yang menjual pelbagai barangan secara dalam talian dinasihatkan tidak melanggar cap dagang orang lain selain pastikan mendapat bekalan dari pemilik cap dagang yang asli,” kata beliau lagi.
Encik Iskandar Halim turut memaklumkan rampasan 5,786 unit jam tangan tiruan jenama Puma, Daniel, Wellington dan Casio bernilai RM14,466 (S$4,800) di Johor Bahru semalam (20 Feb).
"Serbuan dijalankan ke atas sebuah premis perniagaan berikutan aduan yang diterima daripada pemilik cap dagang berkenaan," katanya.
Beliau berkata KPDNHEP akan terus bekerjasama dengan pemilik cap dagang dan agensi-agensi lain dalam usaha melindungi hak pengguna dan juga hak harta intelek milik industri.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.