Skip to main content

Dunia

Hamas terima cadangan baharu gencatan senjata 60 hari

Anggaran Waktu Membaca:
Hamas terima cadangan baharu gencatan senjata 60 hari

Bangunan-bangunan yang musnah di Bandar Gaza pada 18 Ogos, 2025. (Gambar fail: AFP/Omar Al-Qattaa

Diterbitkan : 18 Aug 2025 10:09PM Dikemas Kini : 18 Aug 2025 10:16PM
KAHERAH: Perunding Hamas di Kaherah menerima cadangan baharu gencatan senjata di Gaza, kata seorang pegawai Palestin pada Isnin (18 Ogos), dengan perdana menteri Qatar juga berada di Mesir bagi mendesak supaya gencatan senjata dicapai.

Usaha oleh pengantara Mesir dan Qatar, serta Amerika Syarikat, sejauh ini gagal memastikan gencatan senjata berkekalan dicapai di wilayah itu, di mana perang di wilayah itu sudah berlarutan selama lebih 22 bulan dan mencetuskan krisis kemanusiaan yang buruk di Carikan Gaza.

Pegawai Palestin berkenaan yang bersetuju bercakap dengan AFP dengan syarat identitinya tidak didedahkan, berkata usulan terkini dari pihak pengantara "adalah perjanjian rangka kerja untuk melancarkan rundingan mengenai gencatan senjata yang kekal", sambil menggesa gencatan senjata dilaksanakan selama 60 hari dan tebusan dibebaskan mengikut dua fasa.

Pegawai berkenaan berkata "Hamas akan mengadakan rundingan dalaman dalam kepimpinannya" dan para pemimpin dari puak Palestin yang lain untuk menyemak teks itu.

Satu sumber dari Jihad Islam iaitu puak militan Palestin yang berjuang di samping Hamas di Gaza, memberitahu AFP bahawa pelan itu merangkumi "perjanjian gencatan senjata selama 60 hari, di mana 10 tebusan Israel akan dibebaskan beserta sejumlah mayat".

Dalam kalangan 251 tebusan yang diculik menyusuli serangan Hamas pada Oktober 2023, 49 tebusan masih ditahan di Gaza, termasuk 27 di mana tentera Israel berkata sudah meninggal dunia.

Menurut sumber Jihad Islam itu, "tebusan selebihnya akan dibebaskan pada fasa kedua, dengan rundingan segera dijalankan bagi mencapai perjanjian lebih meluas" untuk menamatkan "perang dan keganasan" secara berkekalan dengan jaminan antarabangsa.

Sumber itu menambah bahawa "semua puak menyokong apa yang dibentangkan" oleh pengantara dari Mesir dan Qatar.
Sumber : AFP/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita