Skip to main content

Dunia

Hamas tegas komitmen sertai pilihan raya, sedia bentuk pakatan dengan Fatah

Anggaran Waktu Membaca:
Hamas tegas komitmen sertai pilihan raya, sedia bentuk pakatan dengan Fatah

(Gamber: ANTARA)

Diterbitkan : 23 Aug 2026 07:46AM
  • Delegasi Fatah yang diketuai Hussein al-Sheikh berlepas ke Kaherah untuk berbincang dengan pegawai Mesir dan puak Palestin mengenai persiapan pilihan raya badan perundangan.
  • Hamas melalui jurucakapnya Hazem Qassem menegaskan komitmen untuk menyertai pilihan raya dalam kerangka pakatan kebangsaan yang luas.
  • Pilihan raya badan perundangan Palestin dijadualkan pada 28 November, selepas dekri dikeluarkan oleh Presiden Mahmoud Abbas pada 9 Julai.
  • Langkah ini bertujuan memperkukuh perpaduan kebangsaan dan membentuk sistem politik konsensus bagi menghadapi cabaran perjuangan Palestin.
Dijana oleh AI
GAZA: Sebuah delegasi daripada Pergerakan Pembebasan Kebangsaan Palestin (Fatah) berlepas ke Kaherah pada Sabtu (22 Ogos), manakala kumpulan Hamas pula mengesahkan komitmennya untuk menyertai pilihan raya badan perundangan yang dijadualkan pada November ini sebagai sebahagian daripada pakatan kebangsaan seluas mungkin, lapor Xinhua.

Ahli Majlis Revolusi Fatah merangkap jurucakap gerakan itu, Munther al-Hayek, dalam satu kenyataan ringkas memaklumkan bahawa delegasi berkenaan yang diketuai Naib Presiden Palestin, Hussein al-Sheikh, berlepas ke Kaherah untuk mengadakan pertemuan dengan pegawai-pegawai Mesir.

Delegasi itu juga dijadualkan bertemu dengan wakil puak-puak Palestin sebagai sebahagian daripada usaha membuat persiapan dan memastikan kejayaan pilihan raya berkenaan, sekali gus memperkukuh perpaduan kebangsaan Palestin serta membuka laluan bagi fasa seterusnya, kata beliau.

Satu sumber Fatah yang enggan dikenali memberitahu Xinhua bahawa persiapan sedang dijalankan untuk mengadakan pertemuan dengan Hamas bagi membincangkan pilihan raya badan perundangan yang bakal menjelang serta cabaran yang dihadapi perjuangan Palestin.

Sementara itu, jurucakap Hamas Hazem Qassem dalam satu kenyataan berkata pergerakan itu kekal komited untuk menyertai pilihan raya badan perundangan akan datang dalam kerangka pakatan kebangsaan seluas mungkin.

Encik Qassem berkata langkah itu mencerminkan hasrat Hamas untuk menjadikan pilihan raya sebagai peluang membentuk sistem politik berasaskan konsensus yang boleh diterima oleh semua puak Palestin, serta membuka jalan kepada kepimpinan kebangsaan yang bersatu untuk menangani isu-isu kebangsaan secara bersama di tengah-tengah cabaran yang dihadapi rakyat dan perjuangan Palestin.

Presiden Palestin Mahmoud Abbas telah mengeluarkan Dekri Presiden pada 9 Julai yang menetapkan 28 Nov sebagai tarikh pilihan raya badan perundangan, manakala pilihan raya presiden pula dijadualkan berlangsung pada suku pertama tahun depan.

Sebagai rujukan, pilihan raya badan perundangan Palestin yang terakhir diadakan ialah pada tahun 2006, manakala pilihan raya seterusnya ditangguhkan berikutan perpecahan politik antara Fatah dengan Hamas.
Sumber : Bernama/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita