Skip to main content

Dunia

Hamas setuju saranan gencatan senjata 60 hari dengan Israel dan bebaskan baki tebusan, kata sumber Mesir

Hamas bersetuju dengan saranan gencatan senjata selama 60 hari dengan Israel yang merangkumi pembebasan separuh tebusan yang ditahan di Gaza dan pembebasan sebilangan tahanan Palestin oleh Israel, menurut sumber rasmi Mesir pada Isnin (18 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Hamas setuju saranan gencatan senjata 60 hari dengan Israel dan bebaskan baki tebusan, kata sumber Mesir

Helikopter Blackhawk milik tentera Israel terbang melintasi Gaza, seperti yang dilihat dari sempadan Israel pada 18 Ogos 2025. (Gambar: REUTERS/Amir Cohen)

KAHERAH: Hamas bersetuju dengan saranan gencatan senjata selama 60 hari dengan Israel yang merangkumi pembebasan separuh tebusan yang ditahan di Gaza dan pembebasan sebilangan tahanan Palestin oleh Israel, menurut sumber rasmi Mesir pada Isnin (18 Ogos).

Pegawai kanan Hamas, Basem Naim mengesahkan kelulusan kumpulan itu di Facebook. Hamas berkata puak-puak Palestin lain turut memaklumkan pengantara mengenai kelulusan mereka juga.

Sungguhpun demikian, tiada maklum balas dari Israel terhadap saranan Hamas itu tetapi seorang pegawai Israel mengesahkan bahawa saranan tersebut telah diterima. Mesir dan Qatar menjadi pengantara antara kedua-dua pihak dengan sokongan Amerika Syarikat.

BANTAHAN TINGKAT TEKANAN TERHADAP PEMERINTAH ISRAEL

Rancangan Israel untuk menguasai Bandar Gaza di tengah-tengah Carikan Gaza telah menimbulkan kebimbangan di luar negara dan di dalam negara itu sendiri, di mana puluhan ribu rakyat Israel pada Ahad (17 Ogos) mengadakan bantahan terbesar sejak perang Israel-Hamas meletus, menggesa perjanjian untuk menamatkan perang dan membebaskan baki 50 tebusan yang ditahan di Gaza sejak Hamas menyerang selatan Israel pada 7 Oktober 2023. Para pegawai Israel percaya 20 daripadanya masih hidup.

Beribu-ribu rakyat Palestin yang bimbang terhadap serangan darat Israel telah meninggalkan rumah mereka di kawasan timur Bandar Gaza, kini di bawah pengeboman berterusan Israel, menuju ke arah barat dan selatan di wilayah yang punah-ranah itu.

Dalam tunjuk kekerasan yang jelas pada Isnin (18 Ogos), kereta kebal Israel mara ke pinggir bandar Sabra di Bandar Gaza, menurut saksi yang mengira sekurang-kurangnya sembilan kereta kebal dan jentolak.

Ketua Turus Tentera Israel, Leftenan Jeneral Eyal Zamir, berkata negaranya berada pada titik perubahan dalam perang Gaza, "dengan tumpuannya untuk meningkatkan serangan terhadap Hamas di Bandar Gaza," kata jurucakap tentera dalam satu kenyataan.

Dalam video yang dikeluarkan oleh pejabatnya, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata: "Saya, seperti anda, mendengar laporan di media, dan daripada laporan-laporan itu, anda boleh mendapat satu tanggapan - Hamas berada di bawah tekanan yang hebat."

Sumber rasmi Mesir menyatakan bahawa saranan yang diterima oleh Hamas termasuk penggantungan operasi ketenteraan Israel selama 60 hari dan menggariskan rangka kerja untuk perjanjian komprehensif bagi menamatkan konflik yang sudah berlarutan hampir dua tahun itu.
Sumber : Reuters/AW/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita