Hamas serah mayat tebusan selepas Israel ancam sekat bantuan
Hamas menyerahkan lebih banyak mayat tebusan kepada Israel pada Selasa (14 Okt), menandakan kemajuan selepas beberapa hambatan dilaporkan sejak Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengumumkan pelan damainya untuk menamatkan peperangan di Gaza.
Konvoi yang membawa mayat tebusan yang diculik semasa serangan maut Hamas pada 7 Oktober 2023 tiba di pusat forensik Abu Kabir, sebagai sebahagian daripada pertukaran tahanan-tebusan dan perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas, di Tel Aviv, Israel, pada 15 Oktober 2025. (Gambar: REUTERS/Stoyan Nenov)
This audio is generated by an AI tool.
Mayat-mayat itu diserahkan selepas Israel mengumumkan pihaknya akan mengurangkan separuh daripada jumlah lori bantuan kemanusiaan yang dibenarkan masuk ke Gaza.
Ini sebagai langkah bagi menghukum Hamas atas apa yang disebutnya sebagai pelanggaran di bawah perjanjian gencatan senjata yang dicapai minggu lalu.
Sementara itu, anggota Hamas yang kembali muncul menunjukkan usaha kumpulan tersebut untuk mengukuhkan semula kawalannya di Gaza dengan menempatkan ratusan anggota keselamatan di jalanan dan membunuh beberapa individu yang dituduh bersubahat dengan Israel.
Prospek pelan damai Encik Trump semakin pudar apabila presiden itu mengancam untuk melancarkan serangan tentera terhadap Hamas sekiranya kumpulan tersebut enggan melucutkan senjata.
“Jika mereka tidak melucutkan senjata, kami akan melucutkan senjata mereka. Ia akan berlaku dengan pantas, dan mungkin dengan kekerasan,” kata Encik Trump di Rumah Putih, sehari selepas beliau berucap di parlimen Israel di Baitulmakdis.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menegaskan peperangan tidak boleh ditamatkan selagi Hamas belum menyerahkan senjata dan melepaskan kawalan ke atas Gaza, tuntutan yang ditolak oleh kumpulan tersebut.
Pada Isnin, Encik Trump mengisytiharkan “permulaan bersejarah bagi era baharu Timur Tengah” kepada parlimen Israel, semasa Israel dan Hamas membuat pertukaran bagi baki 20 tebusan warga Israel di Gaza dengan hampir 2,000 tahanan dan banduan Palestin.
Namun, pembebasan 28 mayat tebusan kekal sebagai antara perkara terakhir yang perlu dimuktamadkan dalam perjanjian untuk menamatkan lebih dua tahun perperangan.
Hamas kini sudah menyerahkan lapan keranda dengan mayat tebusan.
Sekurang-kurangnya 19 lain dipercayai sudah meninggal dunia dan seorang lagi belum dikenal pasti di Gaza.
Pada Selasa, tentera Israel memaklumkan pihaknya menerima empat keranda daripada Palang Merah di satu lokasi pertemuan di utara Gaza.
Keranda-keranda tersebut, diiringi pasukan keselamatan Israel, melintasi sempadan ke Israel sebelum tengah malam dan dibawa untuk proses pengecaman forensik, menurut tentera berkenaan.
Hamas turut mengesahkan penyerahan itu sedang dijalankan.
“Ketika ini, para anggota masih memantau pelaksanaan perjanjian berhubung penyerahan mayat sebagai sebahagian daripada perjanjian untuk menamatkan perang di Gaza,” kata jurucakap Hamas di Gaza, Hazem Qassem, di Facebook.
Masih belum jelas sama ada penyerahan mayat itu mencukupi untuk Israel memulihkan semula kemasukan bantuan dengan sepenuhnya.
Pegawai Israel berkata pihaknya memutuskan untuk menyekat bantuan dengan hanya membenarkan separuh daripada jumlah lori bantuan yang dipersetujui memasuki Gaza mulai Rabu, serta menangguhkan rancangan untuk membuka lintasan selatan ke Mesir.
Ini selepas Hamas dikatakan melanggar perjanjian gencatan senjata setelah gagal menyerahkan mayat tebusan.
Serangan Israel selama dua tahun memusnahkan sebahagian besar wilayah Gaza, manakala Gaza City dan kawasan sekitarnya kini dilanda kebuluran yang menjejas lebih setengah juta penduduk Palestin.
Keadaan itu mewujudkan keperluan mendesak untuk membenarkan sekurang-kurangnya 600 lori bantuan memasuki Gaza setiap hari sepanjang tempoh gencatan senjata.
Rancangan untuk membuka lintasan ke Mesir bagi membolehkan para penduduk Gaza yang cedera dipindahkan bagi rawatan perubatan masih belum dilaksanakan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.