Skip to main content

Dunia

Hamas nafi cadang idea baharu, pinda pelan gencatan senjata seperti didakwa Amerika

Hamas mengulangi pendirian pergerakan itu bahawa Israel yang menolak cadangan gencatan senjata dan menuduh pentadbiran Amerika Syarikat bersetuju dengan sekutu rapatnya itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Hamas nafi cadang idea baharu, pinda pelan gencatan senjata seperti didakwa Amerika

Gambar: Eyad Al-Baba/AFP

Diterbitkan : 13 Jun 2024 10:20AM


DOHA: Pemimpin kanan Hamas, Osama Hamdan menafikan dakwaan Amerika Syarikat (AS) bahawa kumpulan Palestin itu menyarankan beberapa pindaan  terhadap cadangan gencatan senjata Palestin dan Israel di Gaza.

Beliau sebaliknya mengulangi pendirian pergerakan itu bahawa Israel yang menolak cadangan gencatan senjata dan menuduh pentadbiran AS bersetuju dengan sekutu rapatnya itu.

"Hamas tidak membawa sebarang idea baharu," katanya kepada Al-Araby TV.

Sementara itu, menurut sumber keselamatan Mesir, Hamas juga mahukan jaminan secara bertulis daripada AS mengenai rancangan gencatan senjata Gaza.

Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, pada Rabu (12 Jun) berkata Hamas mencadangkan beberapa idea membabitkan gencatan senjata yang disokong negara itu, ada yang boleh dilaksanakan, dan pihak pengantara berusaha untuk merapatkan jurang.

Ketika sidang media bersama Perdana Menteri Qatar di Doha, Encik Blinken dilaporkan berkata Hamas meminda syarat yang diterima dalam perbincangan sebelum ini.

 Penasihat Keselamatan Negara Rumah Putih, Jake Sullivan pula berkata banyak perubahan yang dicadangkan Hamas adalah bersifat kecil dan bukan di luar dugaan.

"Cadangan lain pula sangat berbeza dengan yang digariskan dalam resolusi Majlis Keselamatan PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) Isnin lalu, yang menyokong rancangan dikemukakan Presiden  Joe Biden.

"Matlamat kami adalah untuk memuktamadkan proses ini dan pada pendapat kami, rundingan untuk tawar-menawar sudah tamat," katanya kepada pemberita.

Rabu lalu, Hamas mengeluarkan kenyataan yang menekankan petanda baik dalam rundingan selain menggesa AS untuk menekan Israel supaya menerima perjanjian yang membawa kepada gencatan senjata kekal di Gaza serta pengunduran sepenuhnya tentera dari wilayah terkepung, pembinaan semula dan pembebasan tahanan Palestin.

Menurut Hamas, meskipun pegawai AS berkata Israel telah menerima cadangan gencatan senjata yang digariskan oleh Presiden Biden pada 31 Mei, "kami tidak mendengar mana-mana pegawai Israel mengesahkannya." 

Sumber : AGENCIES/SU/su
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita