Hamas mahu tukar tebusan Gaza dengan tahanan berprofil tinggi
Marwan Barghouti mengangkat tangannya yang digari semasa hari pertama perbicaraannya di Tel Aviv, Israel pada 14 Ogos 2002. (Gambar fail: AP/Brennan Linsley)
This audio is generated by an AI tool.
Israel melihat Barghouti dan tahanan lain sebagai dalang pengganas yang membunuh orang awam Israel dan sebelum ini enggan membebaskan mereka dalam pertukaran tahanan.
Namun, Israel kini berdepan tekanan yang semakin meningkat untuk menamatkan perang dan membawa pulang baki 48 tebusan yang diculik dalam serangan Hamas pada 7 Oktober 2023, dengan sekitar 20 daripada mereka dipercayai masih hidup.
Ramai rakyat Palestin melihat ribuan tahanan yang dipenjarakan oleh Israel sebagai tahanan politik atau pejuang kebebasan yang menentang puluhan tahun pendudukan tentera.
Israel bimbang sejarah bakal berulang selepas ia membebaskan pemimpin kanan Hamas, Yahya Sinwar, dalam pertukaran tahanan pada 2011.
Sinwar, yang ketika itu tahanan lama, menjadi salah seorang penggerak utama serangan 7 Oktober dan mengetuai kumpulan tersebut sebelum dibunuh oleh tentera Israel di Gaza tahun lalu.
Berikut adalah beberapa tahanan yang dipercayai berada di kedudukan teratas dalam senarai yang dikemukakan Hamas kepada pihak perantara minggu ini.
Marwan Barghouti
Selama beberapa tahun, tinjauan menunjukkan bahawa Barghouti, 66 tahun, adalah tokoh politik Palestin yang paling popular dan berkemungkinan besar akan memenangi pilihan raya presiden, yang kali terakhir diadakan pada 2005.
Beliau jauh lebih popular berbanding Presiden Palestin Mahmoud Abbas dan dilihat sebagai calon pengganti yang berpotensi menyatukan perpecahan antara Fatah dan Hamas.
Ada yang membandingkannya dengan Nelson Mandela, yang dipenjarakan selama 27 tahun sebelum menjadi presiden Afrika Selatan.
Barghouti merupakan pemimpin kanan Fatah di Tebing Barat semasa intifada (kebangkitan Palestin) yang bermula pada 2000.
Israel mendakwanya sebagai perancang serangan yang menyebabkan beberapa orang maut.
Beliau ditangkap pada 2002 dan dijatuhkan lima hukuman penjara seumur hidup.
Barghouti tidak membela diri dan menolak untuk mengiktiraf kesahihan mahkamah Israel.
Beliau menyokong penubuhan negara Palestin di Baitulmakdis Timur, Tebing Barat dan Carikan Gaza - wilayah yang ditawan oleh Israel dalam perang 1967 - perkara yang ditolak pemerintah Israel sedia ada dan majoriti kelas politiknya.
Abdullah Barghouti
Dilahirkan di Kuwait dan tiada hubungan keluarga dengan Marwan, Abdullah ialah pembuat bom dan komander kanan Hamas semasa intifada 2000.
Beliau terlibat dalam beberapa serangan berdarah terhadap orang awam Israel, terutamanya di Baitulmakdis.
Pada 2004, mahkamah Israel menjatuhkan 67 hukuman penjara seumur hidup terhadapnya - yang paling panjang dalam sejarah Israel - atas serangan yang membunuh 66 orang (termasuk lima rakyat Amerika) dan mencederakan lebih 500 lain.
Beliau didapati bersalah membuat bom bagi serangan di Universiti Hebrew, restoran Sbarro, sebuah kafe dan siri letupan di kawasan membeli-belah Ben Yehuda.
Dalam penghakiman, hakim menyatakan mereka menyesali kerana hukuman mati tidak boleh dijatuhkan.
Israel hanya pernah melaksanakan hukuman mati sekali - ke atas perancang Holocaust, Adolf Eichmann pada 1962.
Ahmed Saadat
Ketua Barisan Popular bagi Pembebasan Palestin (PFLP) - sebuah kumpulan kecil berhaluan kiri dengan sayap bersenjata - Saadat dituduh merancang pembunuhan Menteri Pelancongan Israel, Rehavam Zeevi, pada 2001.
Zeevi ialah seorang ultranasionalis yang menyeru pengusiran besar-besaran rakyat Palestin.
Saadat dan empat ahli PFLP lain ditangkap oleh polis Palestin.
Pada April 2002, sebuah mahkamah sementara yang dibentuk secara tergesa-gesa di dalam kawasan pemimpin Palestin ketika itu, Yasser Arafat, di Tebing Barat, menjatuhkan hukuman penjara antara satu hingga 18 tahun terhadap keempat-empat individu tersebut.
Saadat tidak didakwa ketika itu, dan pihak Palestin menyatakan mereka tidak percaya beliau terlibat.
Namun pada tahun yang sama, satu perjanjian antarabangsa memindahkannya ke penjara Palestin di Jericho.
Pada 2006, atas rasa bimbang beliau mungkin dibebaskan, Israel menyerbu penjara tersebut dan menangkap beliau bersama yang lain.
Saadat dijatuhi hukuman 30 tahun pada 2008 dan kini berusia awal 70-an tahun.
Hassan Salama
Hassan Salama, anggota kanan Hamas, menerima 46 hukuman penjara seumur hidup pada 1997 atas pengeboman dua bas awam di Baitulmakdis dan satu lagi serangan yang membunuh dan mencederakan puluhan orang.
Beliau menerajui siri serangan balas dendam selepas pembunuhan ketua pembuat bom Hamas, Yahya Ayyash, pada 1996.
Hassan Salama ditangkap pada tahun yang sama dan kini berusia awal 50-an tahun.
Serangan-serangan Hamas ketika itu berlaku dalam konteks rundingan damai yang diusahakan Amerika Syarikat antara Israel dan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO).
Rundingan itu tergendala selepas serangan dan peluasan penempatan Israel.
Rundingan yang membawa hasil tidak lagi diadakan sejak Benjamin Netanyahu kembali menjadi Perdana Menteri pada 2009.
Abbas al-Sayyed
Kini dalam lingkungan usia lewat 50-an tahun, Al-Sayyed ialah komander kanan Hamas di Tebing Barat semasa intifada 2000 dan terlibat dalam serangan paling berdarah bagi kebangkitan tersebut.
Beliau dijatuhkan 35 hukuman penjara seumur hidup dan tambahan 100 tahun atas peranannya dalam beberapa serangan, termasuk pengeboman nekad di Hotel Park di bandar Netanya pada Mac 2002, yang membunuh 30 orang dan mencederakan 140 lagi semasa sambutan Paskah Yahudi.
Serangan itu menjadi titik kemuncak intifada dan mendorong Israel melancarkan operasi ketenteraan besar-besaran di seluruh Tebing Barat yang diduduki.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.