Hamas, Israel saling tuding jari atas penangguhan gencatan senjata
Hamas dan Israel pada Rabu (25 Dis) saling menuding jari berhubung kegagalan mencapai kesimpulan dalam perjanjian gencatan senjata, walaupun kedua-dua pihak melaporkan telah meraih kemajuan sepanjang beberapa hari lalu.

Hamas menyatakan Israel telah menetapkan syarat-syarat baharu, manakala Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menuduh Hamas mengingkari persefahaman yang dipersetujui sebelum ini.
"Perang itu telah menyebabkan syarat-syarat baharu ditetapkan berhubung pengunduran, gencatan senjata, tebusan dan pemulangan penduduk yang hilang tempat tinggal, yang menangguhkan pencapaian perjanjian yang sedia ada," menurut Hamas.
Namun, Hamas menyatakan syarat-syarat itu kini lebih fleksibel dan rundingan mengenai gencatan senjata, yang diusahakan oleh Qatar dan Mesir, kini mencatatkan perkembangan lebih serius.
Encik Netanyahu sebaliknya menyangkalnya dalam satu kenyataan: "Kumpulan Hamas terus berbohong, ia mengingkari persefahaman yang sudah pun dicapai, dan terus menimbulkan kesukaran dalam rundingan."
Sungguhpun begitu, Israel akan meneruskan dengan usahanya untuk mendapatkan para tebusan, katanya.
Sebuah pasukan rundingan Israel pulang ke Israel dari Qatar pada lewat petang Selasa (24 Dis) untuk "mengadakan rundingan dalaman" berhubung perjanjian tebusan selepas seminggu mengadakan perbincangan penting mengenai Gaza, menurut pejabat Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pada Selasa.
Perunding bagi pihak Amerika Syarikat dan negara-negara Arab, Qatar dan Mesir telah meningkatkan usaha untuk mencapai perjanjian sepanjang dua minggu lalu.
ISRAEL TINGKATKAN SERANGAN
Sementara itu, tentera Israel meningkatkan lagi serangan tentera di wilayah Palestin.
Anggota perubatan berkata serangan Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 24 individu di Carikan Gaza pada Rabu.
Salah satu serangan itu menyasarkan sebuah sekolah yang menempatkan keluarga-keluarga yang kehilangan tempat tinggal di kawasan luar bandar Sheikh Radwan di Bandar Gaza.
Tentera Israel menyatakan ia menyerang seorang anggota Hamas yang beroperasi di kawasan Al-Furqan di Bandar Gaza.
Beberapa penduduk Palestin pula terbunuh dan cedera di kawasan Al-Mawasi, iaitu sebuah zon kemanusiaan yang diperuntukkan oleh Israel di Khan Younis di selatan Carikan Gaza, di mana tentera Israel turut berkata serangan yang dijalankannya itu menyasarkan seorang lagi anggota Hamas yang beroperasi di kawasan itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.