Skip to main content

Dunia

Hamas gesa Israel hentikan pencerobohan Gaza; serangan 7 Okt adalah 'langkah perlu'

Anggaran Waktu Membaca:
Hamas gesa Israel hentikan pencerobohan Gaza; serangan 7 Okt adalah 'langkah perlu'

Gambar: AFP

Diterbitkan : 22 Jan 2024 07:48AM Dikemas Kini : 22 Jan 2024 01:08PM
BAITULMAKDIS: Kumpulan militan Hamas gesa Israel supaya segera menghentikan pencerobohannya di Carikan Gaza.

Kumpulan Palestin itu juga menuduh Israel melakukan jenayah dan tindakan penghapusan kaum ke atas seluruh penduduk Gaza.

Di samping itu, Hamas mengatakan hanya orang-orang Palestin yang berhak menentukan masa depan wilayah tersebut.

Dalam satu dokumen setebal 16 muka surat mengenai serangan yang dilakukannya di bahagian selatan Israel pada 7 Oktober lalu, Hamas mengatakan ia adalah satu tindakan yang perlu.

Mempertahankan serangan Hamas ke atas wilayah Israel itu, jelasnya, merupakan tindak balas yang "perlu" kepada semua rancangan jahat Israel terhadap orang-orang Palestin.

Namun Hamas mengatakan keadaan huru-hara yang berlaku ketika serangan tersebut, mungkin telah menyebabkan terjadi beberapa kesilapan semasa apa yang disebutnya sebagai Operasi Banjir Al-Aqsa itu.

Dokumen tersebut merupakan penjelasan pertama Hamas mengenai serangan 7 Oktober yang mencetuskan perangnya dengan Israel yang masih berlarutan.

Kementerian Kesihatan Gaza mengatakan serangan balas Israel ke atas wilayah itu sejak 7 Oktober telah membunuh lebih 25,000 penduduk, kebanyakannya orang awam.
Perang antara Israel dengan Hamas tercetus selepas lelaki bersenjata Hamas memasuki sempadan Israel dengan Gaza, menyerang rakyat Israel dan warga asing di jalan-jalan raya dan rumah mereka.

Ini menyebabkan kematian sekitar 1,140 orang, majorotinya orang awam menurut perangkaan Israel.

Militan Palestin juga menculik sekitar 250 tebusan dengan Israel mendakwa kira-kira 132 tebusan masih ada di Gaza.
Sumber : AGENCIES/MU/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita