Skip to main content

Dunia

Hamas digesa tinggalkan Gaza, lucutkan senjata

Menteri Kewangan Israel berhaluan kanan, Bezalel Smotrich berkata pada Isnin (17 Feb) Hamas mesti menyerahkan senjata mereka dan meninggalkan Gaza.

Anggaran Waktu Membaca:
Hamas digesa tinggalkan Gaza, lucutkan senjata

Ahli keluarga tebusan Hamas di Gaza menumpahkan cecair merah yang melambangkan darah di Baitulmakdis pada Isnin, 17 Februari 2025. (Gambar: AP Photo/Ohad Zwigenberg)

Diterbitkan : 18 Feb 2025 07:39AM Dikemas Kini : 18 Feb 2025 07:48AM
BAITULMAKDIS: Menteri Kewangan Israel berhaluan kanan, Bezalel Smotrich berkata pada Isnin (17 Feb) Hamas mesti melucutkan senjata mereka dan meninggalkan Gaza.

Beliau berucap sedemikian sebelum menghadiri mesyuarat Kabinet bagi membincangkan fasa gencatan senjata seterusnya antara Israel dengan Hamas.

Dalam satu kenyataan video, Encik Smotrich berkata beliau "akan menuntut undian" dari para menteri berhubung rancangan Presiden Amerika Donald Trump dan Israel mesti "memberi kata putus yang jelas kepada Hamas - iaitu segera bebaskan semua tebusan, tinggalkan Gaza dan ke negara lain, serta serahkan senjata mereka".

"Jika Hamas menolak kata putus ini, Israel akan mencelakakan Hamas," kata Encik Smotrich, mengulangi ungkapan yang digunakan oleh Presiden Trump dan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.

Sebagai penentang kuat terhadap perang antara Israel dengan Hamas ditamatkan, beliau mengancam untuk keluar daripada
gabungan pemerintahan Netanyahu jika perang itu tidak disambung selepas fasa pertama gencatan senjata berakhir.

Rancangan Presiden Trump kurang perincian namun ia telah mencetuskan kemarahan global disebabkan oleh seruannya untuk menempatkan semula rakyat Palestin di negara-negara lain seperti Mesir dan Jordan di bawah langkah 'ambil alih' Gaza oleh Amerika.

Encik Smotrich berkata Israel perlu "menakluki sepenuhnya" wilayah tersebut.

Menurut media Israel, Kabinet keselamatan bersidang pada Isnin malam untuk membincangkan fasa kedua gencatan senjata yang bermula pada 19 Januari lalu.

Peperangan yang berlarutan selama lebih 15 bulan telah memusnahkan atau merosakkan lebih 69 peratus bangunan di Gaza, memaksa hampir seluruh penduduk Gaza berpindah dan mencetuskan kebuluran secara meluas, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Ia mereka atau kami. Sama ada kita yang menghancurkan Hamas, atau Hamas akan menghancurkan kita," kata Encik Smotrich.

"Saya menyeru kepada Perdana Menteri Israel supaya mengisytiharkan bahawa sebaik sahaja perang disambung semula selepas fasa pertama gencatan senjata berakhir, Israel akan, dari hari pertama lagi, merampas 10 peratus daripada wilayah Gaza, menegakkan kedaulatan penuh di sana, dan segera menguatkuasakan undang-undang Israel," tambahnya.

"Selain itu, ia harus diumumkan bahawa sebaik sahaja pertempuran berlangsung, segala bantuan kemanusiaan akan dihentikan sepenuhnya."

Encik Smotrich turut berkata menurut rancangan yang sedang disediakan, "penduduk Gaza akan dibenarkan keluar dari tanah air mereka, tetapi hanya dari satu arah - dan tanpa jaminan mereka dapat kembali."

"Kehilangan sebuah wilayah adalah satu-satunya padah yang harus ditanggung oleh musuh kita — satu-satunya perkara yang akan membuat mereka menyedari bahawa kita serius," tambahnya.

Sejak fasa pertama gencatan senjata bermula pada bulan lalu, seramai 19 tebusan Israel telah dibebaskan sebagai pertukaran untuk lebih 1,100 tahanan Palestin.

Daripada 251 orang yang diculik dalam serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023, 70 masih di Gaza, termasuk 35 yang menurut tentera Israel telah mati.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita