Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Hamas dan Jihad Islam bincang gencatan senjata, tegaskan pematuhan semua ketetapan perjanjian

Hamas dan Jihad Islam pada Khamis (13 Mac), membincangkan pelaksanaan perjanjian gencatan senjata, pencabulan perjanjian oleh Israel, serta penyambungan semula rundingan dengan rejim itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Anggaran Waktu Membaca:
Hamas dan Jihad Islam bincang gencatan senjata, tegaskan pematuhan semua ketetapan perjanjian

Kem pelarian Palestin yang didirikan di tengah-tengah bangunan yang musnah berhampiran kem Al-Shati, di kawasan barat Carikan Gaza pada 3 Mac, 2025. (Gambar: AP/Jehad Alshrafi)

Diterbitkan : 14 Mar 2025 10:20AM Dikemas Kini : 14 Mar 2025 10:21AM
GAZA: Hamas dan Jihad Islam pada Khamis (13 Mac), membincangkan pelaksanaan perjanjian gencatan senjata, pencabulan perjanjian oleh Israel, serta penyambungan semula rundingan dengan rejim itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Pertemuan di Qatar itu menghimpunkan ketua majlis kepimpinan Hamas Mohammed Darwish, dan ketua Jihad Islam Ziyad al-Nakhalah, bersama timbalannya Mohammed al-Hindi, menurut kenyataan Hamas.

Dalam perbincangan tersebut, kedua-dua kumpulan Palestin menegaskan keperluan untuk “mematuhi sepenuhnya semua ketetapan gencatan senjata, khususnya berkaitan pengunduran tentera Israel dari Koridor Philadelphi di sepanjang sempadan Gaza-Mesir, pembukaan lintasan sempadan, serta pelaksanaan protokol kemanusiaan,” menurut kenyataan itu. 

Pentingnya memastikan penghantaran belakan asas ke Gaza dan meneruskan fasa kedua daripada perjanjian tiga fasa tanpa sebarang syarat turut ditekankan.

Kenyataan itu juga menegaskan bahawa “barisan pejuang tetap komited untuk melaksanakan perjanjian gencatan senjata dengan penuh tanggungjawab dan bersedia meneruskan pelaksanaannya.” 

Di samping itu, kedua-dua delegasi mengecam tindakan Israel di Baitulmakdis dan Tebing Barat yang diduduki. Ini termasuk pemusnahan kem pelarian di Jenin dan Nur Shams serta larangan ke atas jemaah untuk beribadah di Masjid Ibrahimi.

Perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan yang berkuat kuasa sejak Januari menghentikan serangan dahsyat Israel ke atas Gaza, yang telah meragut lebih 48,500 nyawa serta memusnahkan hampir keseluruhan wilayah berkenaan. 

Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah mengeluarkan waran tangkap pada November 2024 terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza. 

Israel juga berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung serangan yang dilancarkan ke atas wilayah itu.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan