Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Hamas akan bebaskan tebusan seperti dipersetujui jika Israel patuh syarat gencatan senjata

Hamas berkata pada Khamis (13 Feb) bahawa ia bersedia untuk menyambung semula pembebasan tebusan seterusnya pada Sabtu (15 Feb)jika Israel mematuhi syarat perjanjian gencatan senjata Gaza, lapor Anadolu.

Anggaran Waktu Membaca:
Hamas akan bebaskan tebusan seperti dipersetujui jika Israel patuh syarat gencatan senjata

Penduduk Palestin meninjau-ninjau kemusnahan pada rumah mereka di Bandar Gaza. (Gambar: AFP/Omar Al-Qattaa)

Diterbitkan : 14 Feb 2025 10:15AM Dikemas Kini : 14 Feb 2025 10:48AM
ANKARA: Hamas berkata pada Khamis (13 Feb) bahawa ia bersedia untuk menyambung semula pembebasan tebusan seterusnya pada Sabtu (15 Feb)jika Israel mematuhi syarat perjanjian gencatan senjata Gaza, lapor Anadolu.

"Israel melanggar perjanjian itu berkali-kali, sama ada dengan menghalang kepulangan orang yang dipindahkan atau menyekat kemasukan bantuan kemanusiaan," kata jurucakap Hamas Abdul Latif al-Qanoua.

"Jika Israel tidak mematuhi syarat perjanjian, proses pertukaran tebusan tidak akan berlaku," katanya lagi.

Hamas berkata ia akan membebaskan para tebusan Israel seperti yang dirancang di bawah perjanjian gencatan senjata Gaza.

Dalam kenyataannya, Hamas berkata langkah itu diambil selepas perbincangan dengan pengantara Mesir dan Qatar, yang berjanji akan berusaha untuk "menghapuskan halangan dan merapatkan jurang".

Hamas akan terus melaksanakan perjanjian Gaza "sesuai dengan perjanjian yang ditandatangani, termasuk pertukaran tebusan mengikut jadual yang ditetapkan," menurut kenyataan itu.

Hamas berkata pada Isnin (10 Feb) bahawa ia akan menangguhkan pembebasan tebusan seterusnya sebagai tindak balas kepada pelanggaran Israel terhadap perjanjian gencatan senjata.

Pihak berkuasa Palestin menyenaraikan beberapa siri pelanggaran Israel terhadap perjanjian itu, termasuk menembak orang awam dan menyekat akses kepada barangan bantuan, seperti khemah dan karavan, bagi orang awam yang dipindahkan di Gaza.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pada hari berikutnya mengugut akan menamatkan perjanjian gencatan senjata Gaza jika Hamas gagal membebaskan tebusan menjelang tengah hari Sabtu.

Encik Qanoua berkata terdapat "tanda-tanda positif" mengenai komitmen Israel terhadap perjanjian gencatan senjata.

"Hamas komited dengan apa yang dicapai, tetapi tidak akan menerima sebarang pelanggaran Israel yang mungkin mengganggu proses pertukaran," katanya.

Menurut Hamas, delegasi, yang diketuai oleh pemimpinnya di Gaza, Khalil al-Hayya mengadakan perbincangan dengan pengantara Mesir dan Qatar untuk membincangkan pelaksanaan perjanjian gencatan senjata.

"Delegasi kami menumpukan dalam mesyuarat dan komunikasi mengenai keperluan untuk mematuhi dan melaksanakan semua syarat perjanjian, terutamanya dalam mendapatkan perumahan untuk rakyat kami dan memastikan penghantaran segera karavan, khemah, peralatan berat, bekalan perubatan, bahan api dan aliran berterusan bantuan dan semua peruntukan yang dinyatakan dalam perjanjian itu."

Perbincangan itu menandakan semangat positif sedang pengantara Mesir dan Qatar mengetengahkan keperluan untuk terus berusaha bagi menghapuskan halangan dan merapatkan jurang," katanya lagi.
Sumber : Bernama/AW/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan