Skip to main content

Dunia

Halimah Yacob kongsi pengalaman SG di UniMAP

Raja Muda Perlis, Syed Faizuddin Putra Jamalullail menerima kunjungan balas mantan Presiden Singapura Halimah Yacob di Bangunan Canselori Tuanku Syed Sirajuddin, Kampus Alam Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), di Pauh Putra, pada Selasa (14 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
Halimah Yacob kongsi pengalaman SG di UniMAP

Raja Muda Perlis, Syed Faizuddin Putra Jamalullail menerima kunjungan balas mantan Presiden Singapura Halimah Yacob di Bangunan Canselori Tuanku Syed Sirajuddin, Kampus Alam Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) pada 14 April 2026. (Gambar: Pusat Komunikasi Korporat, UniMAP)

Diterbitkan : 15 Apr 2026 10:45AM Dikemas Kini : 16 Apr 2026 03:10PM
PAUH PUTRA: Raja Muda Perlis, Syed Faizuddin Putra Jamalullail menerima kunjungan balas mantan Presiden Singapura Halimah Yacob di Bangunan Canselori Tuanku Syed Sirajuddin, Kampus Alam Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), di Pauh Putra, pada Selasa (14 Apr).

Turut mengiringi beliau ialah Raja Puan Muda Perlis, Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, yang juga Pro Canselor UniMAP.

Majlis itu diadakan bersempena Siri Syarahan Syed Faizuddin Putra, yang menampilkan Puan Halimah selaku Canselor Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) dengan tajuk syarahan “Masyarakat Bermentaliti Kelas Pertama dalam Setiap Tindakan.”

Syarahan berkenaan berlangsung di Dewan Kecemerlangan, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra sebelum majlis tersebut.

Dalam ucapannya, Puan Halimah menegaskan, landskap dunia pekerjaan yang kini berubah dengan pantas menuntut perubahan minda masyarakat, khususnya dalam memahami bahawa proses pembelajaran tidak terhenti setakat memperoleh ijazah.

Sebaliknya, beliau berkata, pembelajaran perlu dilihat sebagai satu proses sepanjang hayat bagi memastikan seseorang individu kekal relevan, berkemahiran dan mampu beradaptasi dengan perubahan semasa.

“Dunia kini sedang mengalami transformasi pesat didorong oleh perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), automasi dan pendigitalan yang bakal mengubah landskap pekerjaan.

“Perubahan akan terus berlaku, namun apa yang lebih penting ialah bagaimana kita bertindak balas terhadap perubahan tersebut dengan disiplin dan penuh tanggungjawab,” kata beliau.

Puan Halimah turut menekankan keperluan pendekatan pembangunan tenaga kerja yang bersifat menyeluruh serta berterusan agar masyarakat mampu bersaing dalam persekitaran global yang semakin mencabar.

Puan Halimah dalam pada itu berkongsi pengalaman Singapura membangunkan negara daripada sebuah ekonomi kecil kepada antara ekonomi maju dunia melalui perancangan strategik jangka panjang, tadbir urus yang berintegriti, serta pelaburan konsisten dalam sektor pendidikan dan pembangunan tenaga kerja.

Kupasan tersebut bukan sahaja memberi perspektif baharu kepada para hadirin, malah memperkukuh kefahaman mengenai gagasan “Masyarakat Bermentaliti Kelas Pertama dalam Setiap Tindakan” sebagai satu kerangka pemikiran penting dalam membentuk masa depan negara.

Sementara itu, Syed Faizuddin Putra berkata, penganjuran program seumpama itu dilihat mampu memperkukuh peranan UniMAP sebagai platform wacana intelektual yang signifikan, di samping menyumbang kepada pembangunan masyarakat yang berdaya saing, progresif dan berintegriti.

Beliau turut menyatakan persetujuan dengan pandangan Puan Halimah bahawa mentaliti kelas pertama tidak hanya diukur melalui pencapaian luaran semata-mata.

“Sebaliknya, ia bermula daripada standard dalaman diri yang berteraskan disiplin, integriti, tanggungjawab serta kejelasan tujuan,” kata beliau.

Turut hadir Naib Canselor UniMAP, Prof Dr Zaliman Sauli serta Presiden SUSS Profesor Tan Tai Yong.
Sumber : Agensi berita/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita