Skip to main content

Dunia

'Hal yang malang, saya dibiar tanpa peguam bela': Najib Razak

Anggaran Waktu Membaca:
 'Hal yang malang, saya dibiar tanpa peguam bela': Najib Razak

Mantan perdana menteri Malaysia Najib Razak. (Gambar fail: Mohd Rasfan/AFP)

Diterbitkan : 18 Aug 2022 07:51PM Dikemas Kini : 18 Aug 2022 08:00PM
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak menyamakan keadaannya kini seperti tanpa peguam bela walaupun Mahkamah Persekutuan pada Khamis (18 Ogos) menolak permohonan peguamnya Hisyam Teh Poh Teik untuk menarik diri daripada perbicaraan.

“Itu adalah hal yang malang dan saya tidak dapat menghujahkan pembelaan saya,” dakwanya, seperti dinukil Malaysiakini.

Encik Najib berkata permohonan Encik Hisyam untuk menangguhkan perbicaraan bagi mendapatkan pembelaan yang sewajarnya juga tidak dibenarkan.

"Saya kini secara realiti, tidak mempunyai peguam bela.

"Saya percaya, saya mempunyai kes yang kuat dan credible (dipercayai) serta saya juga percaya bahawa Hisyam dan pasukannya sekiranya diberikan waktu yang munasabah akan melakukan tugas hebat.

"Saya berdoa untuk mendapatkan perbicaraan penuh dan keadilan," kata bekas perdana menteri itu kepada pihak media selepas perbicaraan hari ini ditangguhkan, lapor Malaysiakini.

Beliau juga berkata haknya untuk hidup dan mendapat perbicaraan yang adil telah dipertaruhkan dan membantah sekeras-kerasnya bagaimana prosiding itu berjalan.

“Nyawa, kebebasan dan hak saya untuk mendapat perbicaraan yang adil, kini terancam," tegasnya.

Encik Najib mendakwa pembelaannya tidak boleh dikemukakan hari ini dan hanya pihak pendakwaan yang boleh mengemukakan hujah mereka hari ini.

Katanya, ini tidak pernah berlaku sebelum ini dalam kes berprofil tinggi untuk perayu berkuat kuasa dibiarkan tanpa representasi undang-undang yang berkesan manakala pihak pendakwaan terus mengemukakan hujah lisan di hadapan mahkamah tertinggi.

Beliau menjelaskan kes SRC adalah kes yang rumit dan memerlukan masa yang mencukupi untuk menyediakan representasi undang-undang yang sewajarnya.

Ahli parlimen Pekan itu melahirkan harapan bahawa mahkamah akan mengambil kira keseriusan perkara itu dan membuat langkah pembaikan.

Encik Najib mendakwa beliau menukar pasukan undang-undang lama yang diketuai oleh Muhammad Shafee Abdullah kepada Hisyam dan peguam Zaid Ibrahim kerana beliau sedang mencari perspektif baru pembelaan kesnya.

Mahkamah Persekutuan menangguhkan perbicaraan hari ini, dengan timbalan pendakwa raya V Sithambaram dijangka menyambung semula penghujahan pagi esok.

NAJIB MAIN BANYAK PERANAN

Terdahulu Timbalan pendakwa raya, V Sithambaram berhujah bahawa Encik Najib Razak memainkan banyak peranan bagi melaksanakan niat jenayahnya dalam SRC.

Pendakwa raya berhujah bahawa perayu memainkan peranan sebagai perdana menteri, menteri kewangan, pemegang saham tunggal Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) dan penasihat emeritus SRC.

Encik Sithambaram berhujah bahawa ini menunjukkan Encik Najib berniat melakukan jenayah atas pelbagai kapasiti yang membolehkan perayu melakukan tujuh kesalahan yang telah disabitkan terhadapnya.

Pada 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan Najib bersalah atas tujuh pertuduhan berkaitan RM42 juta (S$12.9 juta) dana milik SRC, iaitu satu tuduhan salah guna kuasa, tiga tuduhan pecah amanah (CBT) dan tiga tuduhan pengubahan wang haram.

SRC pada mulanya menjadi anak syarikat 1MDB sebelum menjadi milik penuh MOF Inc. MOF Inc, yang juga memiliki 1MDB.

Mahkamah Rayuan pada Disember tahun lalu membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta (S$64.8 juta) terhadap Najib sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan.
 
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita