Hakim sekat larangan media Trump, arah akses ke Rumah Putih dipulihkan
Seorang hakim persekutuan Amerika pada Khamis (24 Sep) mengarahkan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump memulihkan akses ke Rumah Putih bagi wartawan CNN, MS NOW dan Politico, selepas mendapati larangan terhadap tiga media itu berkemungkinan melanggar perlembagaan.
Papan tanda solidariti yang memaparkan nama CNN, MS NOW dan Politico di luar ruang Associated Press di kawasan Rumah Putih di Washington pada 21 Sep 2026. (Gambar fail: Reuters/Kevin Lamarque)
- Hakim Daerah Tim Kelly mengarahkan pentadbiran Donald Trump memulihkan segera akses CNN, MS NOW dan Politico ke Rumah Putih selama prosiding berjalan.
- Beliau mendapati larangan yang diumumkan pada 18 September berkemungkinan melanggar perlembagaan, termasuk kebebasan akhbar dan hak proses undang-undang.
- Trump mengaitkan tindakan itu dengan laporan negatif dan didakwa tidak tepat, manakala Jabatan Kehakiman mempertahankannya atas alasan keselamatan negara.
- Hakim menolak alasan itu, mempersoalkan notis lewat kerajaan, dan menerima sokongan bertulis kumpulan media termasuk Reuters, The Washington Post dan Fox News.
Keputusan itu merupakan tamparan besar kepada Encik Trump dalam pertikaiannya dengan media.
Hakim Daerah Tim Kelly mengeluarkan perintah tersebut dalam saman yang difailkan tiga pertubuhan media itu bagi mencabar larangan yang diumumkan Encik Trump pada 18 September.
Hakim Kelly mengarahkan pentadbiran Trump mengembalikan pas media mereka dengan segera dan menghalang para pegawai daripada menguatkuasakan larangan itu selama 14 hari.
Beliau turut menolak hujah pemerintah bahawa larangan tersebut dibuat atas kebimbangan keselamatan negara.
"Rekod yang ada tiada sokongan fakta bagi dakwaan defendan bahawa pembatalan pas tetap plaintif akan melindungi keselamatan negara atau keselamatan negara akan terancam jika mahkamah mengarahkan pas mereka dikembalikan sementara prosiding ini diteruskan," kata Hakim Kelly.
Beliau turut menyatakan bahawa Encik Trump sendiri berkata larangan itu dibuat kerana apa yang disifatkannya sebagai "kekurangan ketepatan dan laporan negatif" oleh media tersebut.
Rumah Putih serta wakil CNN, MS NOW dan Politico tidak segera memberikan respons terhadap permintaan untuk mengulas.
Encik Trump sebelum ini berkata di media sosial bahawa ketiga-tiga media itu "tidak seharusnya dibenarkan untuk terus menulis atau menyiarkan CERITA REKAAN dan PEMBOHONGAN".
Peguam Jabatan Kehakiman pula cuba mempertahankan larangan tersebut atas alasan keselamatan negara.
CNN, MS NOW dan Politico memfailkan saman terhadap Encik Trump serta beberapa anggota pentadbirannya di mahkamah persekutuan Washington pada Isnin.
Mereka mendakwa larangan itu melanggar Pindaan Pertama Perlembagaan Amerika yang melindungi kebebasan bersuara dan kebebasan akhbar, selain hak mereka terhadap proses undang-undang yang sewajarnya.
Ketiga-tiga media itu memohon perintah sekatan sementara bagi memulihkan akses mereka ke Rumah Putih dengan segera sementara cabaran undang-undang diteruskan.
Pertikaian undang-undang itu berlaku hanya beberapa minggu sebelum pilihan raya pertengahan penggal Kongres pada 3 November, ketika Parti Republikan pimpinan Encik Trump berusaha mengekalkan penguasaan Kongres.
Dalam satu pendengaran pada Rabu (23 Sep), Hakim Kelly berkata dua keputusan terdahulu Mahkamah Rayuan Amerika bagi Litar Daerah Columbia menjelaskan bahawa wartawan berhak melalui proses undang-undang sewajarnya sebelum pas media Rumah Putih mereka boleh dibatalkan.
Beliau turut berkata Rumah Putih kelihatan tidak memberikan peluang yang sewajarnya kepada tiga media tersebut untuk mencabar keputusan membatalkan akses mereka.
Peguam yang mewakili pertubuhan media itu berkata mereka dilarang memasuki Rumah Putih tanpa notis awal seperti yang dikehendaki undang-undang atau peluang untuk mencabar keputusan tersebut.
Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai hukuman yang belum pernah berlaku sebelum ini, tidak munasabah dan keterlaluan.
Peguam Jabatan Kehakiman pula berkata pentadbiran Trump sudah memberikan penjelasan yang mencukupi mengenai pembatalan pas media menerusi surat yang dihantar kepada ketiga-tiga pertubuhan itu pada Selasa (22 Sep).
Hakim Kelly bagaimanapun mempersoalkan hujah tersebut kerana surat berkenaan hanya dihantar selepas akses mereka dibatalkan dan saman sudah difailkan.
Dalam pemfailan mahkamah pada Selasa (22 Sep), Jabatan Kehakiman Amerika berhujah bahawa akses ke Rumah Putih merupakan satu keistimewaan dan bukannya hak, serta presiden mempunyai kuasa untuk menggantung akses pertubuhan media.
Gabungan kumpulan kebebasan media dan puluhan pertubuhan berita pada Rabu turut mengemukakan hujah bertulis bagi menyokong CNN, MS NOW dan Politico.
Mereka berhujah bahawa menarik balik hak wartawan dan pertubuhan media berdasarkan anggappan pandangan mereka bercanggah dengan keputusan Mahkamah Agung sejak beberapa dekad lalu.
Hujah tersebut antara lain disokong Jawatankuasa Bagi Kebebasan Media, Reuters, The Washington Post dan Fox News.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.