Skip to main content

Dunia

Hakim putuskan isteri PM Sepanyol mesti dibicara atas tuduhan rasuah

Anggaran Waktu Membaca:
Hakim putuskan isteri PM Sepanyol mesti dibicara atas tuduhan rasuah

Sebuah trak yang memaparkan imej Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sanchez dan isterinya Begona Gomez di luar mahkamah sebagai bantahan pada hari Cik Gomez hadir di mahkamah untuk memberi keterangan sebagai sebahagian daripada siasatan. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 21 Jun 2026 09:35AM Dikemas Kini : 21 Jun 2026 09:36AM
  • Begoña Gomez, isteri Perdana Menteri Sepanyol, diarahkan dibicarakan atas tuduhan rasuah dan dilarang meninggalkan negara oleh hakim Juan Carlos Peinado pada 20 Jun di Madrid.
  • Beliau disiasat kerana didakwa menggunakan kedudukan sebagai isteri perdana menteri untuk mendapatkan kontrak, namun menafikan sebarang salah laku.
  • Kes ini, yang dikemukakan oleh kumpulan sayap kanan, menambah tekanan kepada Pedro Sanchez dan beberapa sekutunya yang turut disiasat atas dakwaan rasuah berkaitan kontrak kerajaan.
  • Mahkamah Tinggi Sepanyol juga sedang menyiasat mantan Perdana Menteri Jose Luis Rodriguez Zapatero atas dakwaan melobi untuk keuntungan, namun beliau menafikan tuduhan tersebut.
Dijana oleh AI
MADRID: Isteri Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sanchez mesti dibicarakan atas tuduhan rasuah dan dilarang meninggalkan negara itu, seorang hakim memutuskan pada Sabtu (20 Jun).

Begoña Gomez sedang disiasat atas dakwaan menggunakan kedudukannya sebagai isteri perdana menteri untuk mendapatkan kontrak kerja. Beliau menafikan sebarang salah laku. Kes itu dikemukakan oleh kumpulan sayap kanan.

Hakim penyiasat Juan Carlos Peinado mengarahkan Cik Gomez menyerahkan pasportnya, menghalang beliau daripada meninggalkan Sepanyol dan mewajibkannya melapor diri ke mahkamah dua kali sebulan.

Kes itu merupakan salah satu daripada beberapa siasatan rasuah yang hampir peringkat perbicaraan atau sudah dibawa ke mahkamah, yang memberi tekanan kepada Encik Sanchez. Beliau merupakan salah seorang daripada segelintir pemimpin kiri Eropah yang masih bertahan. Encik Sanchez tidak dinamakan dalam mana-mana kes berkenaan dan mengatakan bahawa semuanya adalah sebahagian daripada kempen untuk menyingkirkannya daripada jawatan PM.

Beberapa sekutu rapatnya, termasuk orang nombor tiga parti Sosialis dan mantan menteri pengangkutan Encik Sanchez, sedang disiasat dalam kes yang melibatkan dakwaan rasuah yang ada kaitan dengan kerja raya, kontrak minyak dan gas, dan perolehan pelitup muka semasa pandemik. Mereka menafikan sebarang salah laku.

Secara berasingan, Mahkamah Tinggi Sepanyol menyatakan ia sedang menyiasat mantan Perdana Menteri Jose Luis Rodriguez Zapatero atas dakwaan beliau mengetuai rangkaian yang mengaut keuntungan daripada melobi penguasa awam bagi pihak ketiga, termasuk syarikat penerbangan Plus Ultra. Beliau menafikan dakwaan tersebut.
Sumber : Reuters/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita