Hakim persekutuan halang Trump kerah Pengawal Negara ke Portland
Seorang hakim persekutan pada Sabtu (4 Okt) menyekat buat sementara waktu rancangan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk mengerahkan 200 Pengawal Negara Oregon ke bandar Portland, sedang tuntutan mahkamah yang mencabar tindakan itu sedang dijalankan.
Ejen persekutuan, termasuk anggota Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Peronda Sempadan, menahan penunjuk perasaan sambil melepaskan bom asap di luar kemudahan ICE di pusat bandar Portland, Oregon, pada 4 Oktober 2025. (Gambar: Getty Images melalui AFP/Spencer Platt)
Keputusan penghakiman oleh Hakim Daerah Amerika Syarikat Karin Immergut di Portland adalah satu hambatan bagi Encik Trump, sedang beliau berusaha mengerahkan tentera ke bandar-bandar yang beliau sifatkan "tidak terkawal" sebagai bantahan terhadap pemimpin parti Democrat.
Pejabat Peguam Negara Oregon, Dan Rayfield, daripada Parti Democrat, memfailkan saman itu pada 28 September lalu — sehari selepas Encik Trump mengumumkan beliau akan mengerahkan tentera ke Portland untuk melindungi kemudahan imigresen persekutuan daripada “pengganas domestik.”
Kes tersebut pada mulanya dikendalikan oleh Hakim Daerah Amerika Syarikat, Michael Simon, yang dilantik Presiden Barack Obama.
Namun beliau menarik diri selepas pentadbiran Encik Trump membangkitkan kebimbangan mengenai kenyataan isterinya, seorang ahli kongres, yang mengkritik pengerahan tentera tersebut.
Kes itu kemudian diserahkan kepada Hakim Immergut, yang dilantik oleh Encik Trump pada penggal pertamanya sebagai presiden.
Oregon memohon mahkamah supaya mengisytiharkan pengerahan itu sebagai salah di sisi undang-undang dan menghalangnya daripada diteruskan, dengan mendakwa bahawa Encik Trump mengembar-gemburkan ancaman tunjuk perasaan terhadap dasar imigresennya untuk membenarkan pengambilalihan yang tidak sah ke atas unit Pengawal Negara Portland.
Walaupun Encik Trump menggambarkan Portland seakan-akan “bandar yang dilanda perang,” pihak Oregon menyatakan, tunjuk perasaan di bandar itu “kecil dan aman,” dengan hanya 25 penangkapan dibuat pada pertengahan Jun dan tiada penangkapan direkodkan dalam tempoh tiga bulan setengah selepas 19 Jun.
Kes itu juga menyatakan Encik Trump mengumumkan pengerahan tentera selepas saluran Fox News menyiarkan klip video tunjuk perasaan yang “jauh lebih besar dan ganas” yang berlaku di Portland pada 2020.
Perbezaan ketara dalam gambaran kedua-dua pihak berhubung situasi di Portland terserlah dalam sesi pendengaran mahkamah pada Jumaat di hadapan Hakim Immergut.
Peguam Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat, Eric Hamilton, berkata “radikal ganas dan kejam” sudah mengepung ibu pejabat Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) di Portland.
Beliau menambah bahawa keputusan untuk mengerahkan 200 anggota — hanya lima peratus daripada jumlah yang baru-baru ini dihantar untuk menangani tunjuk perasaan di Los Angeles — menunjukkan tindakan yang berhemah.
Namun peguam yang mewakili Portland, Caroline Turco, menegaskan bahawa tiada sebarang keganasan berlaku terhadap pegawai ICE selama berbulan-bulan dan tunjuk perasaan baru-baru ini dilaksanakan secara “tenang,” dan kadangkala melibatkan kurang daripada 12 peserta seminggu sebelum Encik Trump mengisytiharkan bandar itu sebagai zon perang.
“Tanggapan presiden tentang apa yang berlaku di Portland tidak mencerminkan realiti di lapangan,” kata Cik Turco. “Beliau fikir keadaan seperti Perang Dunia II di sini, sedangkan hakikatnya Portland ialah bandar yang indah dengan pasukan polis berpengalaman yang mampu mengendalikan situasi ini.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.